Thursday, October 9, 2008

Rakyat Jasin nikmati arus pembangunan

Parlimen Jasin kini dalam proses menjadi kawasan membangun di negara ini apabila kerja pelaksanaan pelbagai projek pembangunan rakyat pada tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) rancak dilaksanakan sejak tahun lalu.

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah, berkata projek untuk keselesaan penduduk itu dilaksanakan sejajar usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat.

Katanya, antara projek yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan kualiti hidup rakyat adalah menaik taraf serta membina jalan baru membabitkan Jasin-Merlimau-Kampung Lancang dan Jalan Baru Jasin-Tangkak ke Jalan Jasin-Nyalas dengan kos berjumlah RM25 juta.

"Dari aspek keagamaan dan pendidikan agama, kerajaan menyalurkan RM74 juta bagi membina empat masjid baru, selain 10 surau, tujuh sekolah menengah agama dan 10 sekolah rendah agama.

"Bagi usaha pencegahan banjir, tiga projek tebatan banjir iaitu di Kampung Lancang, Pekan Merlimau serta di Kampung Tasik Sungai Rambai membabitkan kos RM20 juta turut dilaksanakan.

Tidak ketinggalan pembinaan Loji Air Lancang sejumlah RM240 juta sedang dalam pembinaan dan dijangka memberi manfaat kepada penduduk, pelabur dan pekilang," katanya.

Ahmad yang juga Ketua Umno Jasin berkata, bagi memastikan rakyat terus selesa, kerajaan komited menambah jumlah rumah kos rendah di beberapa kawasan di Kampung Kelubi Fasa II serta Kampung Pulai Darat Fasa II dengan kos RM32.356 juta.

Beliau berkata, kemudahan dan prasarana pendidikan juga akan dibangunkan dengan penyediaan peruntukan RM36 juta untuk membina 17 sekolah lagi sepanjang RMK-9. Katanya, pelaksanaan projek perlu diteruskan bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan pendidikan selesa dan berkualiti bagi mencapai matlamat ke arah pendidikan bertaraf dunia.

"Pada masa sama, dua projek kesihatan sedang dilaksanakan membabitkan Klinik Desa Bemban dan Klinik Kesihatan Merlimau dengan kos RM15 juta, manakala pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Jasin serta kuaters mula dilaksanakan awal tahun ini membabitkan peruntukan RM9.5 juta.

"Selain itu, usaha menaik taraf lima institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bakal dilaksanakan membabitkan Kolej Komuniti Selandar, Kolej Komuniti Jasin, Politeknik Merlimau, Institut Kemahiran Mara, Maktab Rendah Sains Mara Tun Ghafar Baba dan Institut Latihan Perindustrian Selandar dengan kos RM50 juta," katanya.

Ahmad berkata, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong, kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan RM8.6 juta untuk penambahan tempat tarikan pelancong baru seperti projek Taman Rekreasi Ayer Panas dan Bukit Langsat serta Laman Tiga Budaya di Asahan membabitkan penyertaan tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Turut dibangunkan adalah kemudahan pelancongan Taman Negeri Melaka di Hutan Simpan Bukit Sedanan, Hutan Rekreasi Bukit Batu Lebah dan Bukit Langsat yang kini rancak dilaksanakan.