Thursday, February 19, 2009

Nasib Zainab sekeluarga terus dibela

Kisah ibu tunggal yang lumpuh separuh badan dan perlu menyara tiga anaknya termasuk seorang cacat sejak lahir, terus mendapat perhatian pelbagai pihak sejak berita mengenainya disiarkan Utusan Malaysia Isnin lepas.

Jika sebelum ini, kepayahan yang dialami Zainab Haron, 62, tidak dipedulikan tetapi sejak berita mengenainya disiarkan dia kini merasakan hidupnya kembali bersinar untuk memulakan kehidupan baru.

Dalam linangan air mata, hanya ungkapan terima kasih berulang kali diucapkan Zainab sebagai tanda penghargaan yang tidak terhingga atas bantuan yang dihulurkan pelbagai pihak.

''Terima kasih. Terima kasih. Mak cik akan ingat wajah awak semua sampai bila-bila,'' katanya ringkas.

Tiada ungkapan yang mampu diluah oleh Zainab sebaliknya air mata berlinangan mengalir sewaktu dia menerima kunjungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan Pembela Barisan Nasional negeri di rumahnya di Permatang Pasir di sini hari ini.

Bukan hanya kunjungan biasa tetapi sebaliknya ketiga-tiga agensi kerajaan negeri itu turut menyumbangkan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan kesusahan hidup yang dialami oleh Zainab.

Sebelum ini kehidupan Zainab dan anak-anaknya hanya bergantung kepada bantuan RM190 yang diberikan oleh JKM kepada anak sulungnya yang cacat, Za'azman Haris, selain anak keduanya, Zazali yang bekerja kilang dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Pendapatan Zazali bagaimanapun berkurangan beberapa bulan kebelakangan ini apabila kilang tempatnya bekerja mengurangkan hari bekerja ekoran kemerosotan pengeluaran.

Kisah Zainab turut mendapat simpati Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang kemudian mengarahkan agensi kerajaan negeri menghulurkan bantuan segera.

Pengarah JKM Negeri, Roslan Baba berkata, pihaknya sudah pun meluluskan bantuan penjaga OKU kepada Zainab untuk kos jagaan Za'azman berjumlah RM300 sebulan mulai bulan ini.
''Malah Za'azman yang cacat sejak lahir juga akan diberikan bantuan bulanan berjumlah RM150 mulai Mac depan.

''Saya harap, dengan bantuan bulanan yang diberikan JKM sebanyak RM450 ini, ia akan dapat mengurangkan beban yang ditanggung keluarga ini," katanya.

Hadir sama Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Mohd. Khabir Abdul Karim dan Pembela Barisan Nasional (BN), Amir Hamzah Aziz.

Sementara itu, Maim turut menghulurkan bantuan am berjumlah RM500, barang keperluan makanan berjumlah RM200 dan tongkat bagi keperluan Zainab sumbangan Badan Sukarelawan At-Taqwa, Maim.

Wednesday, February 11, 2009

RM75,000 diperuntuk bina batu sangkar

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Jasin bakal membina batu sangkar (gabion) di sekitar kawasan tebing Sungai Kesang yang telah terhakis sejak beberapa bulan lalu.

Penolong Jurutera JPS Daerah, Mohd Samsurry Sudin berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM75,000 untuk membina batu sangkar di kawasan tebing sungai yang kian terhakis.

“Kerja-kerja membina batu sangkar terbabit akan mula dibina dalam masa terdekat ini dan dijangkakan kerja-kerja itu akan selesai pada akhir Mac ini.

tg “Batu sangkar ini dibina bagi mengelakkan daripada hakisan yang berlaku di sepanjang sungai ini bertambah teruk,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zainal Kadir ketika dihubungi berkata, pihaknya selaku mewakili penduduk di Kampung Kesang Barat bersyukur dengan pembinaan batu sangkar.

“Kita sangat berterima kasih di atas bantuan dan kerja membina batu sangkar itu kerana selama ini, penduduk kampung terutama lima keluarga yang tinggal di tepi sungai itu sering bimbang kerana terpaksa tinggal di dalam situasi yang berbahaya.

“Penduduk berasa bimbang terutama apabila tiba musim tengkujuh kerana kedudukan rumah dilihat semakin hampir dengan tebing sungai itu,” katanya. Beliau tidak lagi mahu kejadian banjir yang pernah berlaku di kampung itu pada 2006 lalu berulang kembali.

“Kira-kira 13 buah rumah penduduk kampung dinaiki air dan kejadian itu disifatkan sebagai kejadian banjir yang terburuk yang pernah berlaku di kampung ini,” katanya.

Sinar Harian pada 6 November tahun lalu menyiarkan keadaan penduduk yang bimbang disebabkan terpaksa tinggal di dalam keadaan bahaya memandangkan tanah yang terhakis di tepi sungai itu semakin teruk.

Tuesday, February 10, 2009

11 dilantik sebagai penasihat

Seramai 11 tokoh tempatan, pegawai kanan kerajaan dan usahawan terkenal telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Jasin, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Imran Idris berkata, jawatankuasa penasihat berkenaan ditubuhkan untuk membantu kelancaran dan keberkesanan program-program anjuran Kolej Komuniti.

“Jawatankuasa ini sangat penting sebagai satu daripada saluran komunikasi antara masyarakat setempat dengan pihak kolej komuniti.

“Diharap semua yang dilantik dapat mencurah idea, berkongsi pengalaman dan kepakaran bersama warga Kolej Komuniti Jasin dalam membudayakan ilmu pengetahuan demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Jasin.

Watikah pelantikan telah disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir Idris Haron, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Parlimen Jasin serta pemimpin tempatan.

Beliau turut menyarankan kepada seluruh warga Kolej Komuniti Jasin agar sentiasa berfikiran positif dan berusaha memperbaiki kualiti diri seiring dengan keperluan organisasi.

“Kita mahu semua warga kolej bekerja secara lebih profesional dan bersungguh-sungguh menjadikan bidang pendidik sebagai satu bidang kerjaya yang memberi makna dan manfaat yang besar untuk kesejahteraan masyarakat yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada mereka,” katanya.

Katanya, Kolej Komuniti Jasin mula ditubuhkan pada tahun 2003 dengan menumpang sementara di Sekolah Menengah Teknik Jasin, dan pada peringkat awalnya sekumpulan kecil pelajar perintis telah diambil di bawah Sijil Multimedia Kreatif (Pengiklanan).

“Kemudian pada 1 Februari 2005, kolej ini berpindah di sini dan sekarang ia sedang berkembang pesat daripada segi pertambahan pelajar dan kemudahan fizikal dan pembelajaran,” katanya.

Antara tokoh yang menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Jasin semalam adalah Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Mohd Yazed Khamis.

Sementara pegawai kerajaan yang dilantik pula terdiri daripada Pegawai Daerah Jasin, Halim Ahmad; Pegawai Pelajaran Daerah, Yusof Ahmad; Penghulu DUN Merlimau, Lazan Ali dan Pengetua Sekolah Kebangsaan Sungai Rambai, Abu Bakar Alim.

Tuesday, February 3, 2009

Mangsa kebakaran terima bantuan

Seorang ibu tunggal bersama dua anaknya yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka di Batu 19, Jalan Chinchin, hangus dalam kebakaran Rabu lalu, mendapat perhatian Pembela Barisan Nasional (BN) negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Ketua Penyelia Pembela BN negeri, Amir Hamzah berkata, pihaknya berusaha membantu mangsa disebabkan dia hanya tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian itu. “Justeru, kerajaan negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) menyumbangkan kelengkapan sekolah seperti pakaian, kasut dan beg sekolah bagi anak mangsa yang bersekolah di sekolah rendah.

“Sumbangan daripada Tapem kepada anak bongsu mangsa, Muammar Alwali yang kini berada di Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan Air Barok, adalah bagi membolehkan dia dapat terus ke sekolah memandangkan dia bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) penghujung tahun ini,” katanya sewaktu menyampaikan bantuan terbabit kepada keluarga mangsa di rumahnya.

Hadir sama ialah Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Mohd Khabir Abdul Karim dan Pegawai dari Tapem, Diana Mohd Yusuf. Katanya, seorang lagi anak mangsa, Muammar Gadafi, pelajar Tingkatan Enam Atas di Sekolah Menengah Dato’ Bendahara, Air Barok, turut menerima bantuan kelengkapan sekolah yang sama dari MAIM.

Sementara itu, mangsa kebakaran, Noraini Husin, 47, berkata, dia sekeluarga amat berterima kasih di atas bantuan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan negeri itu. “Tiada apa yang boleh dikatakan selain terima kasih di atas keprihatinan yang dihulurkan oleh pihak yang tampil menghulurkan bantuan,” katanya.

Bagi kedua-dua anak mangsa yang menerima peralatan sekolah, mereka berazam untuk berusaha bersungguh-sungguh pada peperiksaan yang bakal dihadapi dan menjadikan kejadian ini sebagai cabaran untuk mereka meneruskan persekolahan.

Menurut Muammar Gadafi, dia berazam untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dan ingin membantu ibunya membesarkan adiknya yang masih berada di sekolah rendah. Lewat petang Rabu lalu, rumah yang disewa mangsa hangus terbakar disebabkan lintas pintas dari bilik tengah.

Mangsa yang ketika itu sedang mandi segera keluar dan tidak sempat menyelamatkan barang-barang kecuali kereta miliknya atas bantuan daripada orang ramai pada ketika itu. Sebelum ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Chua Kheng Hwa dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Turut menyampaikan bantuan keperluan makanan asas ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Agama, Ghazale Muhamad dan Ketua Unit Sukarelawan Al-Taqwa MAIM, Md Dino Md Delan.

Pemuda UMNO Jasin anjur program kemasyarakatan

Biro Latihan Pemuda UMNO Jasin akan menganjurkan beberapa siri program masyarakat di daerah Jasin dalam usaha memantapkan lagi peranan pertubuhan itu pada masa depan.

Pengerusi Biro Latihan Pemuda UMNO Jasin, Shahrul Azwar Abd Aziz berkata, pihaknya sudah mengenal pasti program yang bersesuaian dengan rancangan tersebut dengan tumpuan kerja digerakkan oleh semua pemimpin Pemuda setiap cawangan.

Antara kegiatan itu, katanya, termasuk beberapa siri latihan dan kursus kepimpinan, seminar dan sesi ceramah.

''Kita juga merancang untuk berkunjung ke rumah tokoh veteran UMNO, Tan Sri Aziz Tapa di Jasin bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai peranan Pemuda UMNO dalam konteks sekarang," katanya di sini semalam.

Menurut Shahrul Azwar, sebelum ini, ahli jawatankuasa Biro Latihan Pemuda UMNO Jasin pernah melakukan kunjung hormat ke atas Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Seri Bendahara, Ayer Keroh baru-baru ini.

''Melalui pertemuan itu, banyak pandangan dan harapan yang diberikan oleh Naib Presiden terhadap semua Pemuda UMNO di seluruh negara dan meminta pihak kita memainkan peranan dalam memberi kesedaran pentingnya memelihara kedaulatan negara dan membela nasib orang-orang Melayu," katanya.