Monday, March 30, 2009

40 penuntut belajar cara hidup desa

Seramai 40 pelajar daripada pelbagai jurusan dari Politeknik Merlimau menyertai Program Keluarga Angkat yang diadakan selama dua hari, satu malam di Taman Bahagia, di sini.

Program berkenaan bukan sahaja mendapat kerjasama daripada penduduk di taman terbabit malah turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada kalangan pelajar terbabit sendiri.

Ketua UMNO Cawangan Taman Bahagia, Aduman Md Jelas, 41, berkata, program terbabit merupakan salah satu usaha yang dilakukan untuk merapatkan hubungan antara pelajar politeknik berkenaan yang dipilih daripada kalangan bukan anak Melaka dengan penduduk di taman ini.

Menurutnya, program seumpama itu dapat membantu peserta memperoleh pendedahan mengenai cara hidup masyarakat desa di Negeri Melaka.

“Jika sebelum ini mereka tidak pernah menjejakkan kaki di mana-mana kampung di Melaka, ini adalah peluang keemasan kepada mereka untuk mendekatkan diri selain berpeluang mempelajari cara hidup dan budaya masyarakat Melaka.

“Pendedahan seperti ini diharap berupaya memberi sebuah pengalaman baru kepada semua peserta yang terlibat,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pelajar dapat saling bertukar-tukar pandangan dengan ahli keluarga angkat masing-masing selain memberi tunjuk ajar yang baik kepada keluarga angkat mereka.

“Diharap penganjuran program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk menerusi pelbagai acara yang diadakan sepanjang program ini berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis penyerahan pelajar kepada keluarga angkat di Balai Raya Taman Bahagia, semalam.

Hadir sama Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bahagian, Abd Dolah Hitam, Ketua Pemuda Taman Bahagia, Burhan Ibrahim, Pengarah Sahabat Belia, Mohd Nizam Omar serta pensyarah pengiring, Harman Hasan dan Arman Said.

Kira-kira 15 keluarga yang terdiri daripada penduduk Taman Bahagia mengambil bahagian dalam Program Keluarga Angkat anjuran Persatuan Penduduk dan Kebajikan Taman Bahagia dan Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri (JKM) itu.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang program berkenaan berlangsung, termasuk ceramah agama di Madarasah Baitul Rahman, senamrobik dan gotong-royong, sukaneka dan santai keluarga perpaduan.

Wednesday, March 18, 2009

UMNO Melaka terkejut, kecewa

Seluruh UMNO Bahagian Melaka melahirkan rasa terkilan dengan keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarang Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam daripada bertanding pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Mereka menyifatkan keputusan Lembaga Disiplin tidak adil dan berat sebelah sehingga menutup peluang Ketua Menteri Melaka itu bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Mereka turut mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin hanya memberi amaran kepada Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sedangkan Ahli Parlimen Rembau itu turut melakukan kesalahan di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Idris Haron berkata, keputusan itu amat mengejutkan dan mengecewakan penyokong-penyokong Mohd. Ali bukan sahaja di Melaka tetapi juga di beberapa negeri lain.

Menurut beliau, Lembaga Disiplin parti sepatutnya merujuk terlebih dahulu keputusan yang hendak dibuat kepada Majlis Tertinggi (MT) sebelum membuat pengumuman.
''Hukuman itu sepatutnya mengambil kira kepentingan politik kerana ia boleh mengundang pelbagai reaksi serta menjejaskan keyakinan ahli pada parti.

''Apa pun saya yakin Mohd. Ali akan meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Abdul Ghafaar Atan turut mempersoalkan perkara yang sama dan melihat keputusan itu sebagai tidak adil.

''Adakah wujud ketelusan pada Lembaga Disiplin UMNO? Adakah benar siasatan telus dan jujur dilakukan ke atas Mohd. Ali dengan tidak memihak kepada pihak-pihak tertentu?
''Kenapa hanya di saat-saat akhir sebelum pemilihan parti barulah pihak Lembaga Disiplin hendak buat keputusan? Saya benar-benar terkilan dengan keputusan ini," katanya.

Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan juga mempertikaikan keputusan tersebut yang disifatkan berat sebelah.

''Ada pihak melakukan kesalahan yang sama tetapi sekadar diberikan amaran tetapi bagi Mohd. Ali pula beliau dilarang bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden," katanya.

Bendahari UMNO Bahagian Bukit Katil, Datuk Akbar Ali berkata, pada masa ini kewibawaan, integriti, ketelusan, keadilan dan kemampuan Lembaga Disiplin parti boleh dipertikaikan.

''Keputusan hari ini dipertikaikan. Ia dilihat seolah-olah kurang sihat dan perlu diperbetulkan segera, jika tidak ia akan memberi kesan pada pemilihan parti hujung bulan ini," katanya lagi

Friday, March 6, 2009

Gembleng usaha jadikan Jasin destinasi pelancongan

Bagi mendokong Melaka Maju pada 2010, wawasan pembangunan Daerah Jasin adalah untuk menjadikan Jasin sebagai sebuah Daerah Lestari, Bandar Bestari pada 2020. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, matlamat pembangunannya pula adalah membangunkan Daerah Jasin menerusi pembangunan fizikal, pengukuhan ekonomi dan perkembangan sosial yang mampan serta meningkatkan inovasi daerah.
“Berdasarkan aset dan kekuatan yang ada di daerah ini, ianya boleh dimanfaatkan untuk memastikan Jasin Maju pada masa hadapan.

“Dengan mempertahankan sumber semula jadi seperti kawasan tadahan air, rizab hutan, lembangan sungai, pantai dan kawasan berbukit, daerah ini wajar dibangunkan berdasarkan kelestariannya bukan sahaja untuk kemampanannya bagi diwarisi oleh generasi akan datang malahan ia dapat membangunkan dan memberi keuntungan kepada daerah ini sebagai daerah pelancongan,” katanya.

Menurutnya, usaha ini digembleng bagi menjadikan daerah ini sebagai destinasi pelancongan eko, pelancongan agro serta menyediakan infra dan info-struktur bagi tujuan tersebut.

Justeru, katanya, berdasarkan ketiga-tiga kekuatan iaitu kelestarian, pelancongan dan aktiviti pertanian, maka pembangunan daerah ini perlu dimantapkan sebagai daerah ilmu dengan menyediakan koridor ilmu sebagai tapak institusi pengajian tinggi, pusat akademik dan penyelidikan bagi kerajaan dan persekutuan atau antarabangsa.
“Cadangan penubuhan institusi dan universiti yang menjadi tempat rujukan dan penyelidikan seperti universiti pertanian, ianya akan membawa masuk modal insan untuk memberi fokus kepada daerah yang terurus dan beridentiti sendiri serta merancakkan lagi aktiviti ekonomi.

“Dan bagi mencapai wawasan dan matlamat serta empat teras pembangunan daerah ini, lapan strategi pembangunan telah digariskan, antaranya ialah menjana pertumbuhan ekonomi daerah dari segi pelancongan, eko pelancongan serta sejarah dan warisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-2 Majlis Perbandaran Jasin dan Pelancaran Publisiti Draf Rancangan Tempatan (RTD) Daerah Jasin di Dewan Alamanda, di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Latiff Tamby Chik.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Fadzil Mohd Khir dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin. Hadir sama, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Melaka, Mohd Zaki Ibrahim, serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parlimen Jasin.

Tuesday, March 3, 2009

UMNO Jasin serah sumbangan RM5,283.55

Di atas sifat prihatin terhadap derita yang ditanggung rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, Biro Antarabangsa Pergerakan UMNO Bahagian Jasin, kelmarin telah mengambil inisiatif melancarkan kutipan derma di seluruh cawangan UMNO dalam Parlimen Jasin untuk disalurkan kepada rakyat negara yang menjadi mangsa Israel itu.

Pengerusi Biro Antarabangsa, Ahmad Baharudin berkata, pihaknya berasa bertanggungjawab untuk membantu rakyat Palestin menghadapi kesengsaraan akibat regim zionis itu, sekali gus mengambil keputusan melancarkan tabung berkenaan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata, majlis berkenaan diadakan sebagai mewakili seluruh penduduk di Daerah Jasin bagi menyatakan rasa simpati terhadap nasib rakyat Palestin yang teraniaya dan dizalimi.

“Diharap sumbangan yang kita sampaikan ini dapat membantu meringankan bebanan rakyat Palestin yang telah banyak menderita akibat pencerobohan yang berlaku.

“Dan semoga dunia pada ketika ini dapat turut bersama-sama membantu, bukan sahaja dengan menyatakan rasa benci terhadap rejim Zionis, sebaliknya turut berusaha menjaga keamanan supaya tidak digugat oleh golongan yang mempunyai kepentingan peribadi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Untuk Gaza dan Pertahankan ISA di Kompleks Japerun Rim.

Pada majlis sama, Ahmad menerima RM5,283.55 hasil kutipan derma yang dilakukan Jawatankuasa Biro Antarabangsa itu.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua UMNO bahagian Jasin, Datuk Md Said Md Yusof; Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan; Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian, Zaleha Bujang, Ketua Pemuda UMNO bahagian, Zaidi Atan dan ADUN kawasan Rim, Mohd Yazed Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad turut menyatakan sokongan kepada kerajaan dalam mempertahankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Jika boleh kita mahu kerajaan terus menggunakan akta ini bagi memastikan keselamatan negara terpelihara,” katanya.

Monday, March 2, 2009

375 Keluarga Miskin Tegar Terima Bantuan PPKB

Kira-kira 375 keluarga yang berada di bawah paras kemiskinan dan kemiskinan tegar daerah Jasin, menerima bantuan sejumlah RM798, 644 yang diagihkan melalui Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2006 sehingga 2008.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Murad Husin berkata, bantuan PPKB sebagai memberi kesedaran kepada penerima bantuan supaya dapat mengubah nasib mereka.Justeru, beliau berharap, agar bantuan PPKB ini dapat diteruskan supaya golongan yang memerlukan bantuan seumpama ini akan terus diberi perhatian.

"Berikutan itu, satu program motivasi program pembasmian kemiskinan bandar sedang berlangsung di Hotel Seri Impian, di mana seramai 100 penerima PPKB daerah itu dipilih mengikuti program ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Program Lawatan ke Rumah Keluarga Miskin di kawasan bandar di Dewan Alamanda, di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Setiusaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ahmad Kabit; Pegawai Daerah, Halim Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Latiff Tamby Chik.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah; Setiusaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan.

Sementara itu, Ahmad berkata, lawatan program ini bertujuan mendedahkan keluarga miskin kepada saluran-saluran untuk mendapatkan bantuan, selain menyedarkan mereka agar tidak menyisihkan diri dari arus pembangunan.

Katanya, melalui program ini juga, ia memberi pendedahan kepada kementerian dan agensi yang terbabit dalam menentukan bantuan yang sesuai yang boleh disalurkan kepada golongan sasar.

“Selain itu, pertemuan ini boleh disalurkan kepada pegawai-pegawai Kerajaan, pemimpin tempatan serta penduduk setempat dalam kita menjalinkan hubungan silaturrahim dan berpeluang mewujudkan kerjasama,” kata Ahmad.

Ahmad turut menyeru semua ketua isi rumah golongan miskin tegar di bawah kelolaaan MPJ yang sedang mengikuti program motivasi ini agar dapat menggunakan peluang ini sebaik mungkin.Kata Ahmad, program motivasi ini turut memperuntukkan sesi taklimat dan penjelasan mengenai kemahiran yang boleh diperolehi dengan peluang-peluang pekerjaan dan bantuan modal yang disediakan Kerajaan.