Friday, November 7, 2008

Lahirkan Jaguh Sukan Pemuda UMNO Jasin Mampu Lakukannya


Penubuhan Kelab Badminton Pemuda UMNO Cawangan Jasin Hilir, bukan sahaja mampu mengeratkan dan memantapkan ahli Pemuda UMNO Cawangan itu, malah mampu melahirkan jaguh sukan dalam acara berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah ketika melancarkan kelab tersebut di gelanggang badminton Jasin Hilir, di sini, baru-baru ini berharap lebih banyak kelab badminton akan dapat ditubuhkan di bahagian berkenaan.

Ahmad berkata, dengan menjadikan contoh beberapa negara yang menjadi kuasa dunia dalam acara badminton seperti China dan Indonesia, Ahmad berharap Pemuda UMNO dalam Bahagian Jasin akan menjadi perintis.

“Sudah terbukti bahawa negara China dan Indonesia telah berjaya melahirkan ramai jaguh badminton bertaraf dunia dan oleh itu, penubuhan kelab badminton Pemuda UMNO Cawangan Jasin Hilir ini wajar disambut baik,”katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua UMNO Cawangan Jasin Hilir, Ahmad Misbah Md Jan; Pengerusi JKKK Kampung Jasin Hilir, Yusoff Othman dan Setiausaha Kerja Mubarak Malaysia, Datuk Nazari Adzim.

Menurut Ahmad, beliau turut berharap melalui penubuhan kelab badminton itu, ia akan terus menjadikan Pemuda UMNO terus mantap dan dapat menggelakkan mereka dari terjebak dengan gejala tidak bermoral.

“Di samping dapat menyihatkan tubuh badan, kelab ini juga diharap akan dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai UMNO bagi memastikan Pemuda UMNO Bahagian Jasin terus mantap,”katanya.