Friday, November 7, 2008

Penganugerahan Sijil MS ISO 9001:2000 Cekap Dan Efisien Matlamat Utama MPJ

Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus mara dalam pengurusan yang lebih cekap dan efisien khusus kepada masyarakat di daerah ini apabila menerima pengiktirafan Sijil MS ISO 9001: 2000.

Sijil yang mengiktiraf perkhidmatan perbandaran merangkumi kelulusan pelan pembangunan, kejuruteraan, kawalan bangunan landskap penilaian harta, pelesenan dan penguatkuasaan itu akan digunakan sehingga 26 Ogos 2011.

Yang Dipertua MPJ, Kamarudin Md Shah berkata, penerimaan sijil tersebut akan dapat meningkatkan mutu, kualiti serta imej MPJ sebagai salah sebuah majlis perbandaran yang terbaik di negara ini.

“Sijil MS ISO 9001: 2000 yang diterima MPJ pada hari ini secara tidak langsung memberikan cabaran kepada semua kakitangan jabatan ini untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas majlis penyampaian Sijil MS ISO 9001: 2000 oleh Pengarah CI Certification Malaysia Sdn. Bhd., Ooi Soo Kang di Dewan Alamanda, dekat sini, hari ini.

Hadir sama menyaksikan majlis penyerahan itu ialah Setiausaha MPJ, Mohd Shaiful Hizam Johan; Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Idatul Farita Mohd Taha; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam, Ghazale Muhammad serta lebih 200 pegawai dan kakitangan MPJ.

Menurut Kamarudin, langkah untuk memperoleh pengiktirafan ISO itu telah bermula sejak awal Januari tahun lalu dengan Sistem Kualiti ISO dimulakan pada 1 Julai lalu dan akhirnya MPJ berjaya memperolehi sijil tersebut pada 27 Ogos lalu.

“Sebanyak 11 jabatan terlibat dalam pensijilan ISO ini dan kami akan berusaha untuk menambah baik dengan memastikan semua prosedur yang ada akan sentiasa dipatuhi melalui audit dalaman yang akan dibuat mengikut jadual yang ditetapkan.

“Langkah ini perlu kerana biapun baru hanya satu tahun setengah diiktiraf sebagai Majlis Perbandaran, langkah memastikan prosedur yang ditetapkan itu sentiasa dipatuhi dan ianya adalah perlu dalam usaha memantapkan lagi perkhidmatan dan pengurusan MPJ kepada masyarakat,”katanya.