Monday, March 30, 2009

40 penuntut belajar cara hidup desa

Seramai 40 pelajar daripada pelbagai jurusan dari Politeknik Merlimau menyertai Program Keluarga Angkat yang diadakan selama dua hari, satu malam di Taman Bahagia, di sini.

Program berkenaan bukan sahaja mendapat kerjasama daripada penduduk di taman terbabit malah turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada kalangan pelajar terbabit sendiri.

Ketua UMNO Cawangan Taman Bahagia, Aduman Md Jelas, 41, berkata, program terbabit merupakan salah satu usaha yang dilakukan untuk merapatkan hubungan antara pelajar politeknik berkenaan yang dipilih daripada kalangan bukan anak Melaka dengan penduduk di taman ini.

Menurutnya, program seumpama itu dapat membantu peserta memperoleh pendedahan mengenai cara hidup masyarakat desa di Negeri Melaka.

“Jika sebelum ini mereka tidak pernah menjejakkan kaki di mana-mana kampung di Melaka, ini adalah peluang keemasan kepada mereka untuk mendekatkan diri selain berpeluang mempelajari cara hidup dan budaya masyarakat Melaka.

“Pendedahan seperti ini diharap berupaya memberi sebuah pengalaman baru kepada semua peserta yang terlibat,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pelajar dapat saling bertukar-tukar pandangan dengan ahli keluarga angkat masing-masing selain memberi tunjuk ajar yang baik kepada keluarga angkat mereka.

“Diharap penganjuran program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk menerusi pelbagai acara yang diadakan sepanjang program ini berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis penyerahan pelajar kepada keluarga angkat di Balai Raya Taman Bahagia, semalam.

Hadir sama Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bahagian, Abd Dolah Hitam, Ketua Pemuda Taman Bahagia, Burhan Ibrahim, Pengarah Sahabat Belia, Mohd Nizam Omar serta pensyarah pengiring, Harman Hasan dan Arman Said.

Kira-kira 15 keluarga yang terdiri daripada penduduk Taman Bahagia mengambil bahagian dalam Program Keluarga Angkat anjuran Persatuan Penduduk dan Kebajikan Taman Bahagia dan Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri (JKM) itu.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang program berkenaan berlangsung, termasuk ceramah agama di Madarasah Baitul Rahman, senamrobik dan gotong-royong, sukaneka dan santai keluarga perpaduan.