Thursday, April 2, 2009

Derita remaja dapat perhatian

Penderitaan seorang remaja yang menghidap sakit pinggang dan tangan akibat kemalangan jalan raya 11 Mac lalu mendapat perhatian pelbagai pihak.

Mohd Hafiz Razali, 18, penuntut Tahun Satu Sijil Automotif, Pusat GiatMara, Durian Tunggal itu mengalami kecederaan teruk pada bahagian pinggang dan tangan kanan apabila motosikal yang dinaiki dilanggar sebuah kereta.

Ibunya, Esah Tahir, 59, berkata, selepas kejadian, anaknya koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka (HM) selama lapan hari. “Syukur selepas lapan hari dirawat, Mohd Hafiz akhirnya mula sedar dan kemudian mendapatkan rawatan lanjut di hospital sama.

“Sehingga sekarang, Mohd Hafiz akan kami bawa berjumpa doktor di HM untuk menjalani pemeriksaan. Walaupun sudah sedarkan diri, Mohd Hafiz masih lagi tidak dapat menguruskan diri sendiri.

“Oleh itu, kami sekeluarga yang menjaganya dan menguruskan dirinya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu, kata Esah, perhatian yang diberi oleh Pembela Barisan Nasional (BN), Badan Sukarelawan Al-Taqwa Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ahli Parlimen Jasin yang datang melawat anaknya yang terlantar di rumah amat dihargai.

“Saya sekeluarga amat berterima kasih atas bantuan dan perhatian yang disalurkan pelbagai pihak yang sudi hadir ke rumah kami untuk mengetahui perkembangan Mohd Hafiz,” katanya.

Sebelum ini, katanya, rakan-rakan, tenaga pengajar dan Pengarah GiatMara tempat anaknya belajar turut datang melawat untuk mengetahui perkembangan kesihatan anaknya itu.

Pada lawatan berkenaan, Badan Sukarela Al-Taqwa MAIM menghulurkan bantuan sebuah kerusi roda dan lampin pakai buang kepada Mohd Hafiz, selain Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah turut menyampaikan peruntukan Parlimen kepada Mohd Hafiz.

Hadir sama dalam lawatan itu Ketua Penyelia Pembela BN, Amir Hamzah Abd Aziz, Ketua Penyelia Badan Sukarela Al-Taqwa MAIM, Md Dino Md Delan, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Agama, Ghazale Muhammad serta beberapa kakitangan JKM daerah.