Friday, March 6, 2009

Gembleng usaha jadikan Jasin destinasi pelancongan

Bagi mendokong Melaka Maju pada 2010, wawasan pembangunan Daerah Jasin adalah untuk menjadikan Jasin sebagai sebuah Daerah Lestari, Bandar Bestari pada 2020. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, matlamat pembangunannya pula adalah membangunkan Daerah Jasin menerusi pembangunan fizikal, pengukuhan ekonomi dan perkembangan sosial yang mampan serta meningkatkan inovasi daerah.
“Berdasarkan aset dan kekuatan yang ada di daerah ini, ianya boleh dimanfaatkan untuk memastikan Jasin Maju pada masa hadapan.

“Dengan mempertahankan sumber semula jadi seperti kawasan tadahan air, rizab hutan, lembangan sungai, pantai dan kawasan berbukit, daerah ini wajar dibangunkan berdasarkan kelestariannya bukan sahaja untuk kemampanannya bagi diwarisi oleh generasi akan datang malahan ia dapat membangunkan dan memberi keuntungan kepada daerah ini sebagai daerah pelancongan,” katanya.

Menurutnya, usaha ini digembleng bagi menjadikan daerah ini sebagai destinasi pelancongan eko, pelancongan agro serta menyediakan infra dan info-struktur bagi tujuan tersebut.

Justeru, katanya, berdasarkan ketiga-tiga kekuatan iaitu kelestarian, pelancongan dan aktiviti pertanian, maka pembangunan daerah ini perlu dimantapkan sebagai daerah ilmu dengan menyediakan koridor ilmu sebagai tapak institusi pengajian tinggi, pusat akademik dan penyelidikan bagi kerajaan dan persekutuan atau antarabangsa.
“Cadangan penubuhan institusi dan universiti yang menjadi tempat rujukan dan penyelidikan seperti universiti pertanian, ianya akan membawa masuk modal insan untuk memberi fokus kepada daerah yang terurus dan beridentiti sendiri serta merancakkan lagi aktiviti ekonomi.

“Dan bagi mencapai wawasan dan matlamat serta empat teras pembangunan daerah ini, lapan strategi pembangunan telah digariskan, antaranya ialah menjana pertumbuhan ekonomi daerah dari segi pelancongan, eko pelancongan serta sejarah dan warisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-2 Majlis Perbandaran Jasin dan Pelancaran Publisiti Draf Rancangan Tempatan (RTD) Daerah Jasin di Dewan Alamanda, di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Latiff Tamby Chik.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Fadzil Mohd Khir dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin. Hadir sama, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Melaka, Mohd Zaki Ibrahim, serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parlimen Jasin.