Tuesday, March 3, 2009

UMNO Jasin serah sumbangan RM5,283.55

Di atas sifat prihatin terhadap derita yang ditanggung rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, Biro Antarabangsa Pergerakan UMNO Bahagian Jasin, kelmarin telah mengambil inisiatif melancarkan kutipan derma di seluruh cawangan UMNO dalam Parlimen Jasin untuk disalurkan kepada rakyat negara yang menjadi mangsa Israel itu.

Pengerusi Biro Antarabangsa, Ahmad Baharudin berkata, pihaknya berasa bertanggungjawab untuk membantu rakyat Palestin menghadapi kesengsaraan akibat regim zionis itu, sekali gus mengambil keputusan melancarkan tabung berkenaan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata, majlis berkenaan diadakan sebagai mewakili seluruh penduduk di Daerah Jasin bagi menyatakan rasa simpati terhadap nasib rakyat Palestin yang teraniaya dan dizalimi.

“Diharap sumbangan yang kita sampaikan ini dapat membantu meringankan bebanan rakyat Palestin yang telah banyak menderita akibat pencerobohan yang berlaku.

“Dan semoga dunia pada ketika ini dapat turut bersama-sama membantu, bukan sahaja dengan menyatakan rasa benci terhadap rejim Zionis, sebaliknya turut berusaha menjaga keamanan supaya tidak digugat oleh golongan yang mempunyai kepentingan peribadi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Untuk Gaza dan Pertahankan ISA di Kompleks Japerun Rim.

Pada majlis sama, Ahmad menerima RM5,283.55 hasil kutipan derma yang dilakukan Jawatankuasa Biro Antarabangsa itu.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua UMNO bahagian Jasin, Datuk Md Said Md Yusof; Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan; Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian, Zaleha Bujang, Ketua Pemuda UMNO bahagian, Zaidi Atan dan ADUN kawasan Rim, Mohd Yazed Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad turut menyatakan sokongan kepada kerajaan dalam mempertahankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Jika boleh kita mahu kerajaan terus menggunakan akta ini bagi memastikan keselamatan negara terpelihara,” katanya.