Monday, April 27, 2009

Hentikan Perbalahan Sesama Kita

Umat Islam di negeri ini diseru melakukan perubahan tekad dengan menghentikan perbalahan yang boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat masa kini.

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata, perbalahan di kalangan umat Islam tidak seharusnya berlaku dan ia boleh dielakkan jika masyarakat berpegang kepada Al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Menurutnya, kekurangan penghayatan terhadap Al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW menyebabkan umat Islam pada zaman kini berada dalam keadaan yang huru-hara.

"Allah berfirman dalam Al-Quran bahawa semua umat Islam bersaudara tetapi malangnya pada masa ini masyarakat bermusuh sesama sendiri, enggan berkerjasama dan saling bergaduh sesama sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di Padang Taman Kesang Damai, di sini, semalam.

Majlis sambutan anjuran Anjuran Jawatankuasa Penyelaras UMNO DUN Bemban, JAPERUN DUN Bemban itu turut dihadiri Pegawai Daerah Jasin, Halim Ahmad; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri, Ghazalee Mohamad; Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Zaleha Bujang serta ahli-ahli Jawatankuasa UMNO Jasin.

Hadir sama, Penyelaras UMNO DUN Bemban, Zainal Kadir; Setiausaha JAPERUN DUN Bemban, Azmi Kadir dan turut menyaksikan sebanyak 24 kontinjen membabitkan 1,500 peserta.

Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, umat Islam seharusnya melaksanakan kerja kebajikan dan mengutamakan keamanan, namun mereka kini dilihat suka melakukan sesuatu yang tidak mendatangkan kebaikan.

"Apabila umat Islam tidak mendalami al-Quran dan tidak melaksanakan ajaran yang telah ditetapkan, maka berlakulah pelbagai masalah, peperangan, huru-hara dan perbalahan yang menjadikan masyarakat Islam tidak kuat, tidak bermuafakat dan tidak bersaudara,'' jelasnya.

Katanya, umat Islam perlu melakukan usaha yang bersungguh-sungguh bagi mendalami Al-Quran dan menghayati serta mengikuti sunah Nabi Muhammad.

Kontinjen yang menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul bertemakan "Wahdah Pemangkin Khaira Ummah" itu kemudiannya berarak dari Taman Kesang Damai menuju ke Masjid Kesang Luar dan majlis diakhiri dengan ceramah Maulidur Rasul disampaikan guru tahfiz, Ustaz Hatta Abd Rahim