Friday, April 10, 2009

RM403j bina Bandar Baru Jasin

Kerajaan negeri akan membangunkan secara usahasama projek pembangunan Bandar Baru Jasin seluas kira-kira 200 hektar di daerah itu tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek baru itu akan dijalankan bersama melalui anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam) dan Telekom Malaysia (TM).

Menurutnya, ia meliputi pembangunan bercampur jenis perumahan, bangunan perniagaan dan pejabat kerajaan dengan keseluruhan kos berjumlah RM403 juta serta menjanjikan pulangan pelaburan sebanyak RM77 juta dalam tempoh 10 tahun.

''Ia termasuk pembinaan 600 lot kampung tersusun, 241 lot komersial, 1,378 lot kediaman dan dua lot institusi pengajian tinggi bakal dibangunkan di kawasan itu dalam tempoh 10 tahun.

''Kita akan bina semua ini selama 10 tahun dan pulangan yang TM peroleh adalah sebanyak 16 peratus daripada projek ini malah ia bakal memperoleh semula RM64.6 juta dalam tempoh tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Usahasama antara TM Facilities Sdn. Bhd. dan Pertam di sini semalam.

Pertam diwakili Timbalan Pengerusinya, Datuk As'ari Ibrahim dan Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nasser Selamat manakala TM diwakili oleh Pengerusi TMF merangkap Ketua Pegawai Operasi Kumpulan TM, Datuk Adnan Rofiee dan Naib Presiden Perniagaan Sokongan TM, Zam Ariffin Ismail.

Hasil perjanjian itu, Pertam bertanggungjawab memajukan tanah milik anak syarikat TM, TM Facilites Sdn. Bhd. yang terletak di mukim Bemban dalam daerah Jasin untuk dijadikan Bandar Baru Jasin kelak.

Kata Mohd. Ali, pihaknya yakin projek pembangunan Bandar Baru Jasin itu memberi manfaat dan keuntungan jangka panjang kepada kedua-dua pihak.

''Apa yang paling penting dalam projek ini, daerah Jasin dapat dibangunkan seiring dengan pembangunan daerah lain yang terdapat di Melaka memandangkan daerah ini agak ketinggalan.

''Sehubungan itu, mulai tahun ini, kita akan memfokuskan lebih banyak pembangunan di daerah Jasin supaya ia dapat membangun dengan cepat," katanya.

Beliau turut mempelawa mana-mana institusi pendidikan, kesihatan dan pihak swasta untuk turut terlibat membeli bangunan perniagaan yang akan disediakan di kawasan tersebut kelak.

''Pertam juga akan menjual tanah kosong selain tanah yang siap infrastruktur asas untuk kampung tersusun tetapi sekiranya ada agensi yang berminat untuk membelinya secara bina siap, Pertam akan menyiapkan kemudahan asas,'' katanya.