Monday, July 14, 2008

Kita Perlu Bersatu Pulih Kekuatan UMNO

Semua ahli UMNO di Bahagian Jasin diminta sentiasa mematuhi etika parti khususnya semasa mengadakan mesyuarat agung UMNO peringkat cawangan masing- masing bermula 19 julai ini. Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah, berkata langkah mematuhi peruntukkan dan etika parti itu amat penting demi memastikan perjalanan mesyuarat agung dapat dilaksanakan dengan lancar tampa ada sebarang masalah.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin, berkata, mereka juga diingatkan supaya mengutamakan kepentingan parti dari kepentingan peribadi bagi memastikan nasib orang Melayu terus terbela. "Saya berharap supaya ahli UMNO terutama kepentingan di peringkat cawangan supaya dapat memahami dan mematuhi peraturan dan etika yang terdapat didalam perlembagaan parti demi memastikan tiada sebarang masalah berlaku,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Cawangan Berkelompok UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda, dekat sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Mohd Said Yusoff, Naib Ketua Bahagian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, Ketua Wanita, Datuk Ramlah Abas, Ketua Pemuda, Mohd Yazed Khamis dan Ketua Puteri, Siti Faezah abd Aziz.

Lebih 300 pemimpin dari keempat-empat sayap parti yang mewakili 79 Cawangan UMNO di dalam Bahagian Jasin hadir di majlis tersebut. Menurut ahmad, semua ahli UMNO khususnya di peringkat cawangan dan bahagian perlu mengembalikan kekuatan UMNO dan sentiasa bersama-sama menghadapi apa juga masalah, kesukaran dan kepayahan.

"Saya juga berharap supaya semangat perpaduan akan terus dapat di pertingkatkan terutama di peringkat akar umbi menjelang hari mesyuarat agung di kawasan masing- masing. "Mereka juga perlu mendapatkan sokongan daripada orang muda, ahli professional sekaligus mesti memberi ruang kepada mereka supaya mereka tidak lari daripada UMNO,"katanya.