Wednesday, July 16, 2008

Puteri UMNO Perlu Peka-Pastikan Martabat Melayu Terus Terpelihara Dan DiBela

Semua ahli Puteri UMNO di Bahagian Jasin diingatkan supaya sentiasa sedar akan tanggungjawab mereka sebagai ahli UMNO khususnya dalam memastikan nasib orang melayu terus terpelihara dan terbela. Ketua UMNO bahagian Jasin Datuk Wira Ahmad Hamzah, berkata mereka juga perlu sentiasa peka dan memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan seiring dengan kepesatan pembangunan pada hari ini.

Menurutnya, ini adalah penting, kerana dalam era moden hari ini, pelbagai cara dan helah boleh dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dalam mencuba mengucar-kacirkan masyarakat Melayu pada hari ini. "Semua ahli puteri perlu sentiasa bersedia dan sedar akan tanggungjawab mereka dalam memastikan martabat dan maruah orang- orang Melayu akan terus di hormati oleh masyarakat di dunia ini,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Perhubungan UMNO Negeri yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di majlis perasmian penutupan kursus asas Jati diri dan kepimpinan Puteri UMNO Bahagian Jasin di Eco Retreat, Sime Darby dekat sini hari ini. Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua UMNO BahagianDatuk Mohd Said Yusoff, Naib Ketua UMNO bahagian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, Setiausaha UMNO Bahagian, Gazalee Mohamad, Ketua Puteri UMNO Negeri, Mas Emneryatie shamsudin dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Jasin, Siti Faizah Datuk Abd Aziz.

Kursus anjuran Puteri UMNO Bahagian Jasin selama tiga hari dua malam itu telah disertai seramai 150 peserta yang terdiri dari ketua dan ahli jawatankuasa Puteri di Peringkat Cawangan. Menurut Ahmad, beliau berharap selepas mengikuti kursus itu, semua ahli Puteri UMNO Bahagian Jasin akan menjadi Puteri contoh di dalam negeri ini dan mampu untuk berhadapan dan menangani serta menangkis segala dakyah yang di bawa pembangkang.

Dalam Perkembangan lain, Ahmad turut mengingatkan semua Perwakilan Puteri UMNO di negeri ini supaya menggunakan kebijaksanaan mereka dalam memilih calon sekiranya terdapat pertandingan jawatan. "Saya berharap semua ahli Puteri dapat menggunakan kebijaksanaan mereka dalam memilih calon yang sesuai dan apa yang lebih penting ialah ia mestilah mematuhi etika pemilihan parti dan dijalankan dalam suasana yang harmoni,"katanya