Wednesday, July 23, 2008

Supaya Tidak Tercicir-Program 'Cari' Kesan Kelompok Kurang Bernasib Baik

Langkah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkan Program Cari baru-baru ini, perlu digunakan sepenuhnya oleh semua pihak termasuk 66 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Parlimen Jasin.

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah, berkata semua JKKK perlu melaksanakan langkah turun ke padang dengan mencari dan mengenal pasti golongan sasaran.
Menurut Ahmad Kementerian terbabit telah menyediakan peruntukkan yang besar untuk program tersebut demi memastikan golongan kurang bernasib baik tidak tercicir dari mendapat pembelaan.

“Bersesuaian dengan program “Cari” yang diperkenalkan ini saya berharap semua JKKK dapat mengenal pasti beberapa kategori golongan kurang bernasib baik di kawasan masing-masing untuk diberi bantuan sewajarnya oleh Kerajaan.

"Melalui program ini, mereka perlu mencari orang yang miskin, warga emas yang terbiar, kanak-kanak yang tidak bersekolah, orang-orang cacat termasuk kanak-kanak yang tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.

Menurut Ahmad, apa yang penting sekarang JKKK tidak perlu menunggu sahaja orang susah datang mencari mereka sebaliknya kini giliran mereka pula mengenal pasti golongan kurang bernasib baik yang terdapat dalam kawasan masing-masing.

Ahmad berkata setiap JKKK juga perlu mengisi borang pendaftaran bantuan selepas mengenal pasti golongan kurang bernasib baik di kawasan masing-masing sebelum menyerahkan dokumen tersebut kepada JKM untuk diproses.

“Sebagai Ahli Parlimen Jasin, saya terlibat secara langsung dalam proses meluluskan borang permohonan berkenaan dan apa yang saya boleh janjikan, kelulusan permohonan akan dibuat dalam tempoh yang segera.

“Dalam menolong orang yang susah kenapa kita perlu ambil masa yang lama, jika cukup syarat, kelulusan akan terus diberi kepada pemohon yang layak,'' katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Ng Yen Yen, memperkenalkan program Cari yang membolehkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat mencari dan mengenal pasti golongan kurang bernasib baik yang memerlukan bantuan tanpa menunggu permohonan mereka.