Friday, July 4, 2008

Usaha Berterusan Majukan Rakyat

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menegaskan usaha gigih yang berterusan selain komitmen yang tinggi dari semua pihak, sama ada pemimpin dan anggota kerajaan serta rakyat amat diperlukan bagi meningkatkan kemajuan negeri Melaka.

Katanya, usaha ini adalah sasaran utama kerajaan negeri dalam mencapai matlamat menjadikan Melaka negeri maju menjelang 2010.Untuk itu katanya, Kerajaan Negeri telah dan sedang melaksanakan pelbagai projek demi meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat termasuk peruntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) untuk memberikan keselesaan kepada penduduk di seluruh negeri termasuk di Daerah Jasin.

Mohd Ali berkata demikian di Majlis Makan Malam Tuan Yang Terutama, Tun Mohd Khalil Yaakob Bersama Rakyat Daerah Jasin yang diadakan di Stadium Jasin sempena perlantikan penggal ke-dua Mohd Khalil menjadi Yang di-Pertua Negeri Melaka. Hadir sama isteri Mohd Khalil, Toh Puan Zurina Kassim; isteri Ketua Menteri, Datin Wira Asmah Abd. Rahman; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad dan isteri, Datin Halimah Baba; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Omar Kasih dan isteri Datin Faridah Jaafar.Turut hadir Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Rashid Reza Mohd Saleh, Pegawai Daerah Jasin, Mohd Zin Mansor, Ketua-Ketua Jabatan serta lebih 500 penduduk sekitar daerah Jasin.Jelas Mohd Ali , antara projek pembangunan yang disediakan dalam RMK-9 untuk daerah ini adalah projek pembinaan naik taraf dan jalan baru antara Jasin - Merlimau - Kampung Lancang dan Jalan Baru Jasin - Tangkak ke Jalan Jasin - Nyalas yang menelan belanja RM25 juta.

"Kerajaan terus istiqamah dalam meningkatkan kemudahan pendidikan agama dan kemudahan ibadat kepada umat Islam di daerah ini, untuk itu sebanyak sepuluh buah surau yang menelan belanja RM1.1 juta selain empat buah masjid yang melibatkan RM9.5 juta dan sepuluh buah Sekolah Rendah Agama (SRA) yang baru dengan kos RM10.7 juta akan dibina," kata Ketua Menteri.Selain itu katanya, pembinaan sebanyak tujuh buah Sekolah Menengah Agama (SMA) yang menelan belanja sebanyak RM52.6 juta turut dilaksanakan di daerah Jasin, yang mana keseluruhannya menelan belanja sebanyak RM73.9 juta akan dibelanjakan."Usaha-usaha untuk mencegah banjir akan terus dilaksanakan di daerah ini di mana dua buah projek tebatan banjir iaitu di Kampung Lancang dan Pekan Merlimau yang melibatkan peruntukkan RM20 juta termasuk projek takungan banjir di Kampung Tasik Sungai Rambai turut dibina," jelasnya.

Kata Mohd Ali, bagi meningkatkan penggunaan air oleh rakyat dan pelabur serta pekilang-pekilang, sebuah Logi Air Lancang yang melibatkan RM20 juta sedang dalam pembinaan secara berperingkat-peringkat."Keperluan tempat tinggal untuk rakyat sentiasa meningkat terutamanya rakyat yang berpendapatan rendah, justeru itu kerajaan telah memperuntukkan RM32.356 juta di dalam RMK-9 untuk melaksanakan dua buah projek perumahan di Kampung Kelubi (fasa 1) dan Kampung Pulai Darat (fasa 11) dalam usaha untuk menambah jumlah rumah kos rendah terutamanya di kawasan penduduk yang padat," katanya.

Selain itu tambah Mohd Ali, kerajaan persekutuan terus merancang, membangunkan serta menaiktarafkan dan menambah kemudahan dan prasarana pendidikan dimana sebanyak RM35.859 juta diperuntukkan untuk pembinaan 17 buah sekolah di daerah ini bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan pendidikan yang selesa dan berkualiti dalam mencapai matlamat ke arah pendidikan bertaraf dunia."Kemudahan kesihatan turut dipertingkatkan, untuk itu sebanyak dua buah klinik kesihatan desa sedang dilaksanakan di Bemban dan Merlimau yang melibatkan kos lebih RM15 juta bagi memastikan rakyat mendapat khidmat rawatan dan pemulihan kesihatan terbaik," ujar Mohd Ali.