Thursday, July 24, 2008

Usaha Menanganinya DiPergiatkan Krisis Moral Dan Akhlak Remaja Makin Parah

Golongan remaja merupakan golongan yang mudah terdedah kepada gelombang perubahan yang berlaku pada masa kini sehingga menyebabkan krisis moral dan keruntuhan akhlak di kalangan mereka menjadi amat kritikal.

"Masyarakat sering dikejutkan dengan pelbagai paparan berkaitan penglibatan remaja dalam gejala sosial dan isu ini saban hari diperdebat serta diperkatakan dalam liputan media massa dan media elektronik," kata Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah.

Beliau menegaskan, dalam jangka panjang, isu ini dikhuatiri boleh memberikan implikasi terhadap kestabilan negara dan mengundang kegagalan dalam melahirkan masyarakat yang produktif, progresif, berdaya maju dan yang masih mengekalkan nilai-nilai murni.

Ahmad yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Melaka berkata demikian di majlis penutup Seminar Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah Rendah Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka di sini, petang tadi.

Seminar yang dianjurkan bersama oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Melaka; Polis Kontijen Melaka dan Jabatan Pelajaran Melaka (JPM) itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Melaka, SAC 11, Kamal Pasha Jamal; Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPM, Asha'ari Johari; Ketua-Ketua Polis Daerah; Guru-Guru medik dan para Pegawai Kanan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Melaka.

Seramai 429 orang pelajar dan guru-guru medik yang melibatkan 103 buah sekolah rendah dari seluruh negeri ini hadir pada seminar itu.

Jelas Ahmad, kes-kes jenayah yang melibatkan remaja dan pelajar ini menimbulkan spekulasi dan persoalan berkaitan keutuhan benteng disiplin dan jati diri di kalangan generasi pelapis negara.

"Ini kerana generasi remaja adalah menjadi harapan dan merupakan aset kepada negara bagi membentuk hala tuju masyarakat kita nanti selain menjadi kesinambungan dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara yang telah dibina dalam menerajui negara ke arah yang lebih baik dan cemerlang," terangnya.

Untuk itu kata Ahmad, Kelab Pencegahan Jenayah merupakan satu kaedah yang efektif dalam mendidik dan memberikan kesedaran kepada remaja dalam mengekang perkara-perkara yang menjurus kepada pelakuan yang melanggar undang-undang.

"Seminar yang diadakan ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai positif dalam pembentukan sahsiah serta aspek kerohanian yang kental serta dapat menjadi amalan, gaya hidup serta dapat melahirkan generasi remaja yang bermoral, bermaruah dan berdaya saing pada masa hadapan," jelasnya.

Tambahnya, pengisian seminar ini meliputi pengembangan kesedaran diri serta perubahan rehabilitasi sosial remaja dari negatif kepada positif untuk memenuhi partisipasi sosial masyarakat.

Selain itu katanya, seminar ini membantu memberikan kefahaman kepada remaja dan pelajar berkaitan kaedah dan cara yang boleh dilaksanakan dalam usaha mengekang dari terlibat dengan gejala sosial.