Tuesday, August 5, 2008

Tingkatkan Amalan Kebersihan-Elakkan Kekotoran, Cegah Wabak Penyakit

Semua masyarakat khususnya penduduk di negeri ini perlu meningkatkan amalan kebersihan di kawasan masing-masing dengan memastikan kawasan mereka tidak dicemari dengan segala kekotoran.Ini adalah bagi memastikan tidak ada berlakunya masalah wabak penyakit seperti demam denggi dan Chikungunya yang kini dilaporkan telah berlaku di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna Negeri, R Perumal berkata, biarpun kes tersebut tidak sampai ke tahap yang membimbangkan, kerjasama orang ramai dalam menjaga kebersihan amat diperlukan.

“Kita hendaklah memastikan kawasan persekitaran rumah sentiasa bersih dan tidak mempunyai barangan yang mempunyai potensi untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Rakan Muda Wawasan Desa (Bakti Masyarakat), gotong royong perdana rumah awam Pondok Batang, Kampung Pondok Batang dan Kampung Abbey, dekat sini, baru-baru ini.Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Negeri dengan kerjasama Gerakan Belia 4B dan JKKK Kampung Abbey/Pondok Batang itu turut disertai 100 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Belia 4B (GB4B) dan JKKK Kampung Abbey/Pondok Batang, Suhaizan Md Noh berkata, tujuan utama program itu adalah untuk memberi kesedaran kepada belia mengenai kepentingan kebersihan, keindahan dan persekitaran yang sihat.

Menurutnya, ia juga bertujuan memberi peluang dan pendedahan kepada belia mengenai tanggungjawab sosial dengan aktiviti bergotong-royong, di samping mendekatkan golongan belia dengan pemimpin.