Wednesday, August 6, 2008

Pelajar perlu dekati masyarakat

Penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dinasihatkan supaya lebih banyak menyertai aktiviti serta program kemasyarakatan demi mewujudkan persefahaman antara penuntut dan penduduk di sekeliling kawasan kampus.

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata, penuntut di IPT seharusnya bijak merebut peluang dengan menyertai setiap program yang dianjurkan masyarakat sekeliling.

“Kita mahu lihat penuntut ini dapat menghayati erti kehidupan masyarakat desa. “Selain itu, kita mahu mereka melihat serta memahami permasalahan yang dihadapi masyarakat desa.

Dengan cara ini, golongan penuntut akan mudah menyalurkan beberapa bentuk pertolongan kepada keluarga angkat mereka,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Program Rakan Muda Wawasan Desa IPT, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Merlimau Pasir, Zainudin Abu dan Pengerusi Gerakan Belia 4B Merlimau Pasir, Jezlee Pit. Seramai 200 pelajar daripada Politeknik Merlimau terlibat di dalam program ini.

Katanya, penuntut disarankan supaya berusaha mencapai kecemerlangan serta meneruskan pembelajaran sehingga ke peringkat ijazah.

“Selagi terdaya, penuntut seharusnya mengambil peluang dengan meneruskan pembelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan, penuntut kini tidak mempunyai sebarang masalah jika mahu meneruskan pembelajaran.

“Seperti mana yang kita lihat, lulusan Politeknik Merlimau kini mempunyai pengkhususan dalam setiap jurusan dan mereka dapat menyertai banyak perkara ketika menjalani latihan praktikal,” katanya.

Penuntut turut diingat supaya menunaikan tanggungjawab dalam usaha kerajaan melahirkan graduan yang berkualiti di samping mempunyai kemahiran di dalam pelbagai bidang. “Oleh itu, selepas tamat pengajian, mereka dapat menabur bakti dengan melakukan perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Malah Ahmad turut bercadang untuk membawa Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, mengadakan lawatan ke Politeknik Merlimau.

“Kita mahu beliau melihat dan mendengar sendiri tentang pembangunan yang terdapat di sini, di samping mengetahui masalah yang dihadapi oleh warga penuntut politeknik. “Menerusi usaha ini, diharapkan Politeknik Merlimau bakal dapat menghasilkan lebih ramai graduan yang berkualiti pada masa depan,” katanya.

Ahmad (dua dari kiri) dan Jezlee (kiri) ketika menyampaikan cenderamata kepada keluarga angkat pada majlis penutup Program Rakan Muda Wawasan Desa IPT, di sini.