Wednesday, August 13, 2008

Sumbangan Pertanian, Besar Ertinya Buat Rakyat

Tanggal 6 Ogos merupakan Hari Ulangtahun Peladang yang diisytiharkan oleh kerajaan pada setiap tahun sebagai memperingati sumbangan peladang kepada keperluan makanan utama rakyat di negara ini.

Justeru, kesempatan ini telah diambil oleh seluruh rakyat di negeri ini terutama warga pertanian dengan menyertai program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (PPN) bagi tahun 2008, baru-baru ini.

Sumbangan pertanian besar ertinya dan rakyat terhutang budi kepada peladang kerana sumbangan tenaga dan keringat mereka yang membekalkan makanan keperluan kepada rakyat di seluruh negara ini.

Tambahan pula ketika ini negara dan dunia menghadapi masalah kekurangan makanan utama seperti beras, gandum dan lain-lain barangan keperluan disebabkan keadaan cuaca dan alam semulajadi.

Berikutan masalah tersebut, para peladang diharap dapat meningkatkan usaha dan teknologi untuk memastikan supaya bekalan barangan makanan dan keperluan harian rakyat sentiasa mencukupi.Pengerusi PPN negeri Melaka, Datuk Abu Pit memberitahu, pada tahun ini Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah menyumbang sebanyak RM100,000 kepada PPN dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) seluruh negara untuk menjayakan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan seluruh negeri.

Abu yang juga Lembaga Pengarah NAFAS berkata, PPN Melaka juga telah mengadakan bacaan Yasin dan tahlil serta taklimat mengenai pembangunan pertanian di bilik mesyuarat PPN di Ayer Keroh baru-baru ini.

"Manakala PPK Merlimau telah bekerjasama dengan Unit Merlimau Timur mengadakan sambutan Hari Peladang di Dewan Serbaguna Merlimau Timur pada 9 Ogos lalu dengan mengadakan pelbagai acara," katanya yang juga Ketua Unit Merlimau Timur.

Beliau berkata, pada program sambutan itu turut diadakan sumbangan zakat perniagaan sebanyak RM6,497.33 kepada Pusat Zakat Melaka (PZM) Katanya, turut diadakan ialah projek Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) iaitu tanaman jagung yang diberikan kepada 10 orang petani yang kurang berkemampuan berjumlah RM3,528.85 di bawah peruntukan UPEN kerajaan Negeri Melaka.

"Ini adalah keuntungan hasil tanaman pertama oleh petani terbabit, manakala Unit Peladang Merlimau Timur juga merupakan unit pertama yang aktif mengadakan sambutan Hari Peladang itu," katanya.

Menurut beliau, pada majlis tersebut pelbagai pameran dan pertandingan hasil daripada pertanian telah diadakan termasuk sukaneka, pertandingan mewarna pelajar tadika Merlimau Timur dan majlis bacaan Yasin dan Tahlil yang diadakan di dewan berkenaan.

Majlis yang mendapat sambutan menggalakkan itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah yang juga selaku Ketua UMNO Jasin.

Ahmad dalam ucapannya telah memuji kegiatan yang dilakukan oleh Unit Merlimau Timur dan PPK Merlimau dan menyeru unit-unit lain supaya mencontohi para peladang seluruh negeri Melaka yang telah banyak berjasa kepada negeri ini.Di samping itu, beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada PPK Merlimau kerana berjaya menjalankan projek tanaman jagung seluas 10 ekar untuk peladang-peladang yang kurang berkemampuan.

Sehubungan itu, Ahmad juga berharap supaya PPK terus berusaha dengan lebih gigih lagi bagi mempertingkatkan perniagaan dan keuntungan untuk menambah sumbangan zakat pada tahun-tahun yang akan datang.