Friday, September 5, 2008

Pegawai syarak digesa pastikan program Ramadan lancar

Semua imam dan pegawai syarak di dalam kawasan Parlimen Jasin digesa memastikan program agama di kawasan masjid dan surau di kariah mereka dapat berjalan dengan lebih lancar sepanjang bulan Ramadan ini.

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata, mereka juga disarankan menghidupkan malam bulan Ramadan dengan mengadakan majlis tadarus al-Quran secara beramai-ramai selepas solat sunat tarawih.

“Semua imam dan pegawai syarak di dalam kawasan Parlimen Jasin diseru supaya sentiasa dapat memastikan program agama yang dianjurkan di setiap masjid dan surau di dalam kawasan mereka dapat berjalan lancar.

“Di samping itu, mereka juga digalakkan untuk mengadakan beberapa program lain bersempena sambutan Ramadan yang mulia ini,” katanya. Jelasnya lagi, kerajaan sentiasa memberikan keutamaan kepada program pembangunan modal insan dan agama khususnya pada bulan Ramadan demi memastikan kekuatan rohani umat Islam dapat disemai dalam diri dan jiwa mereka.

“Pada tahun ini, sebanyak 45 masjid dan 95 surau di dalam Parlimen Jasin dipilih Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) untuk mengadakan program Taqarrub Ramadan.

“Oleh itu, saya berharap umat Islam khususnya di kawasan yang terpilih akan dapat sama-sama menghadiri program tersebut untuk meningkatkan ilmu dan kefahaman agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan 40 Utiliti Masjid oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam Parlimen Jasin di Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Jasin, dekat sini, semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Jasin, Md Zin Mansor, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam, Ghazalee Mohamad, ADUN Kawasan Merlimau, Datuk Mohammad Hidhir Abu Hassan, ADUN Kawasan Rim, Mohd Yazed Khamis dan ADUN Kawasan Sungai Rambai, Hassan Abd Rahman