Monday, September 8, 2008

Kerajaan Tiada Pilihan Demi Kepentingan Rakyat

Kerajaan Negeri tidak ada pilihan kecuali mengambil tanah seluas 21.04 hektar milik Sime Darby Plantation Sdn Bhd di Daerah Jasin bagi melaksanakan projek pembangunan bercampur membabitkan perumahan, bangunan komersial dan kemudahan prasarana lain.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, Kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mengambil tanah milik Sime Darby sebagai menampung keperluan penduduk di kawasan tersebut.

"Memandangkan kedudukan kawasan Merlimau kini semakin padat dengan penduduk, projek pembangunan bercampur akan dilaksanakan segera di Daerah itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat EXCO di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, perbincangan pernah diadakan setahun lalu, dan Kerajaan Negeri meminta Sime Darby bangunkan projek berkembar, namun mereka menolak kerana ia hanya boleh dibangunkan sebagai pertanian.

"Kerajaan Negeri tiada pilihan selain mengambil tanah syarikat itu bagi mendirikan kemudahan seperti, rumah dan bangunan kedai termasuk stesen bas serta pasar awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah hari ini mengenai permintaan Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. yang mahukan Kerajaan Negeri menimbang semula cadangan pengambilan tanah milik syarikat itu seluas 21.04 hektar di Daerah Jasin.

Mohd Ali menjelaskan, Kerajaan Negeri hanya mengambil sebahagian kecil tanah kepunyaan syarikat tersebut yang secara keseluruhan seluas 14,752 hektar di Jasin dan Merlimau ketika ini."Pengambilan tanah tersebut dibuat demi menjaga kepentingan penduduk yang memerlukan kemudahan politeknik dan mahkamah di situ.

Menurutnya, pembangunan di kawasan yang ada tidak boleh dilaksanakan kerana kedudukannya yang padat dengan rumah kediaman terutama di Jasin."Untuk projek pembangunan Bandar Baru Jasin 2 pada masa akan datang, kita perlu bangunkan tanah milik Sime Darby di hadapan Taman Maju, Jasin untuk membina lebih banyak rumah dan bangunan kedai," katanya.

Mohd Ali berkata, Bandar Jasin perlu dibangunkan bagi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah dan penduduk di situ juga mahu pembangunan."Saya faham, Sime Darby semakin kehilangan sedikit tanah kelapa sawit miliknya, namun Kerajaan Negeri juga tidak mempunyai pilihan selain terpaksa terus mengambil tanah milik syarikat tersebut untuk dijadikan projek berkembar," katanya.

Mohd Ali turut meminta syarikat tersebut agar bersedia pada masa akan datang memandangkan Kerajaan Negeri juga sudah merancang untuk mengambil tanah milik syarikat itu pada masa depan bagi tujuan yang sama.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Sime Darby kerana memberi Kerajaan Negeri ambil tanah mereka sebelum ini," katanya."Jika mereka boleh bangunkan sendiri untuk projek bercampur, kita tiada halangan, mereka juga boleh dapat hasil keuntungan projek," katanya.