Friday, September 19, 2008

NGO, jabatan kerajaan erat hubungan

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Jasin dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) baru-baru ini menganjurkan majlis gotong-royong menyediakan bubur lambuk di perkarangan tempat letak kereta PDT.

Ketua Pegawai AADK daerah, Siti Aishah Aman berkata, program yang sudah masuk tahun ketiga itu diadakan bagi mengeratkan hubungan di antara jabatan-jabatan kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO).

“Program ini dapat merapatkan kembali hubungan yang sudah sekian lama terjalin di antara kakitangan jabatan kerajaan dan swasta di dalam daerah Jasin.

“Selain itu, kita juga memberi peluang kepada mereka untuk bekerjasama menghasilkan bubur lambuk di samping bersedekah sempena bulan Ramadan ini,” katanya.

Siti Aishah turut memberitahu, program yang dianjurkan pada tahun ini merupakan program yang pertama kali diadakan dengan kerjasama daripada PDT.

“Kita merancang untuk mengadakan aktiviti seperti ini pada tahun hadapan memandangkan sambutan yang diberi oleh kakitangan terbabit amat menggalakkan.

“Dengan sambutan serta semangat kerjasama yang ditonjolkan oleh wakil PDT dan AADK sendiri membuktikan bahawa sifat saling membantu penting dalam menjayakan sesuatu program,” jelasnya.

Beliau berkata, pada hari tersebut, sebanyak 35 kilogram bubur lambuk dimasak dan sebanyak 1,500 bungkus bubur lambuk diedarkan kepada semua jabatan kerajaan dan agensi swasta di seluruh daerah Jasin.

“Di samping itu, kita juga turut mengedarkan bubur lambuk ini kepada Rumah Anak Yatim Jasin dan AADK seluruh negeri Melaka selain Jabatan Kerja Raya daerah (JKR), Jabatan Kesihatan daerah dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah,” katanya.

Seramai 60 kakitangan daripada PDT dan AADK bertungkus-lumus menyiapkan bubur lambuk tersebut yang mempunyai dua rasa yang berbeza.

“Kita sengaja memasak bubur lambuk ini dengan dua rasa berbeza kerana ingin memberi kelainan. Pada kali ini, dua tukang masak di jemput iaitu seorang daripadanya merupakan Jawatankuasa Masjid Jamek Jasin sementara seorang lagi kakitangan di AADK.

“Kesemua bubur lambuk tersebut disampaikan oleh Pegawai Daerah Jasin, Mohd Zin Mansor kepada wakil jabatan yang hadir,” katanya.

Hadir sama ialah Pengarah AADK negeri Melaka, Ibrahim Bujang dan semua Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam kawasan Parlimen Jasin. Pada majlis yang sama, AADK turut menyampaikan sumbangan sebanyak 50 nashkah Yassin kepada wakil Sidang Jasin, Roslan Mohd Din yang merupakan wakil Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Masjid Jamek Jasin.

“Sumbangan tersebut di harapkan dapat memberi kemudahan kepada semua umat Islam yang mengerjakan ibadat di sana,” katanya.