Monday, November 24, 2008

Melaka Dahului Penembusan Jalur Lebar Tertinggi Di Malaysia

Melaka terus mencatat pembangunan yang membanggakan dalam bidang komunikasi apabila menjadi negeri yang mendahului kadar penembusan Jalur Lebar yang tertinggi di negara ini sehingga hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, sehingga hari ini, Melaka telah berjaya mencapai kadar penembusan Jalur Lebar sebanyak 23 peratus berbanding dengan jumlah kadar penembusan nasional sebanyak 18 peratus.

“Melaka telah mencapai 23 peratus kadar penembusan Jalur Lebar sehingga hari ini dan saya berharap kita akan dapat mencapai 50 peratus menjelang 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian program Sehari Bersama Pelanggan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) di Dewan Alamanda, di sini, semalam.Hadir sama Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Menurut Mohd Ali, beliau telah meminta Bahagian K-Ekonomi memantau kadar penembusan Jalur Lebar itu supaya ia akan terus dipertingkatkan sehingga mampu mencapai sasaran kira-kira 50 peratus kadar penembusan Jalur Lebar.

Katanya, Kerajaan juga telah membuka pusat siber di kawasan luar bandar untuk memberi latihan dan pengetahuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada penduduk terbabit.

“Ini termasuklah penggunaan e-banking dan e-business kerana ia menjadi pengukur kepada penduduk luar bandar yang kita latih menggunakan internet dan ia hanya akan berjaya sekiranya mereka dapat menguasai penggunaan kedua-dua e banking dan e-business ini,” katanya.

Selain itu, Mohd Ali berkata, Melaka juga menjadi negeri pertama berjaya menyelesaikan isu serta masalah air di negara ini apabila bakal menandatangani perjanjian bersama Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK).

“Perjanjian ini akan dilakukan pada Disember ini dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) telah diminta menguruskan urusan terbabit,” katanya.