Monday, November 24, 2008

Papan Tanda Jalan Pelbagai Bahasa

Langkah Kerajaan Pulau Pinang yang meneruskan pemasangan papan tanda jalan pelbagai bahasa membuktikan pemimpin negeri itu menggunakan pendekatan perkauman, selain mahu meraih publisiti murahan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seolah-olah terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat pelbagai kaum di negeri berkenaan.Katanya, ia juga turut mahu menunjukkan bahawa beliau seorang yang sentiasa bersikap perkauman dalam melaksanakan sesuatu perubahan dan pembangunan.

“Saya fikir ini pendekatan kurang elok kerana ia akan menimbulkan semangat perkauman di negara ini dan beliau sepatutnya mencari jalan supaya suasana harmoni sentiasa wujud di Malaysia.

“Papan tanda pelbagai bahasa seperti yang dipasang di Pulau Pinang ketika ini menunjukkan pandangan tidak elok dalam negara kita. Ini sudah tentu tidak dapat menyatupadukan suasana harmoni yang amat diperlukan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sehari Bersama Pelanggan anjuran Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) di Dewan Alamanda Jasin, di sini kelmarin. Mohd Ali yang juga Ketua Menteri berkata, ketika beliau berada dalam negeri yang diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia (BWD), apa yang wajar dilakukan ialah menempatkan papan tanda penerangan dalam pelbagai bahasa di lokasi tumpuan pelancong.

Sebagai contoh, katanya, di Makam Hang Tuah di Melaka, terdapat papan tanda penerangan dalam bahasa Melayu, Cina, India dan Inggeris bagi memudahkan pelancong mengenali kawasan berkenaan yang menjadi bahan sejarah berguna sebelum pulang ke negara asal.

“Tapi nama jalan tidak perlu diletakkan pelbagai bahasa kerana pelancong sendiri akan faham papan tanda berbahasa Malaysia. Sebenarnya Guan Eng cuba mencari publisiti dan sokongan berasaskan isu perkauman dan inilah diri beliau sebenarnya,” katanya.