Friday, December 5, 2008

RM4.5 juta lengkapkan kemudahan asas pelajar

Sejumlah RM4.5 juta di bawah Tabung Amanah Pendidikan Melaka (Tapem) dibelanjakan bagi membeli pakaian sekolah sebagai bantuan keperluan asas kepada pelajar miskin di seluruh negeri sejak tahun 2000 lalu.

Pengurus Besar Tapem, Abu Bakar Abdul berkata, usaha itu selaras dengan konsep warga penyayang yang ditekankan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam bagi memastikan keperluan asas golongan tersebut sentiasa dipenuhi dari semasa ke semasa.

Menurutnya, sesuai dengan hasrat itu, pihaknya akan memastikan kewujudan Tapem mampu memenuhi keperluan tersebut, sekali gus membantu golongan sasaran menaikan taraf hidup keluarga mereka ke peringkat lebih baik.

''Kita juga telah merangka pelbagai program bagi membasmi kemiskinan hingga ke tahap sifar seperti yang diharapkan oleh kerajaan negeri menjelang Melaka Maju pada tahun 2010 kelak," katanya.

Beliau berkata demikian pada program perasmian dan pelancaran Bantuan Murid Sekolah Rendah di sini hari ini.

Katanya, Tapem ditubuhkan bagi membantu kerajaan negeri dalam melengkapkan keperluan pendidikan pelajar sama ada di peringkat rendah atau pusat pengajian tempatan dan swasta.

Ujarnya, bagi melahirkan lebih ramai golongan profesional dan intelektual di negeri ini, pihaknya telah menaja 7,510 pelajar bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi dalam pelbagai bidang pendidikan.

''Bagi program kritikal seperti jurusan perubatan, kita telah menaja 61 pelajar untuk mengikuti program Ijazah Perubatan di Indonesia, Asia Barat, Ukraine dan Rusia.

''Sebahagian daripada mereka dijangka pulang ke tanah air dan berkhidmat untuk kerajaan negeri pada tahun 2010," katanya.

Beliau berkata, hanya melalui peningkatan tahap pendidikan akan mampu mengubah status kemiskinan hidup seseorang pelajar itu.