Thursday, November 13, 2008

Sebagai Pemimpin Pelapis Azman & Mohd Nizam Komited Teruskan Perjuangan

Naib Presiden dan Setiausaha Agung Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Azman Abdulah dan Mohd Nizam Omar diberi kepercayaan oleh perwakilan sebagai Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin yang bersidang di Dewan Alamanda, baru-baru ini.

Azman yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Jasin menewaskan lawannya, Nor Azmi Mahmood dengan perbezaan sembilan undi manakala Mohd Nizam yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Belia 4B (GB4B) Kawasan Jasin menempatkan diri sebagai Ahli Jawatankuasa dalam percubaannya yang pertama.

Azman yang ditemui selepas pengumuman keputusan undian itu bersyukur kepada Allah kerana mendapat mandat serta amanah daripada perwakilan yang membuat pemilihan dan beliau amat menghargainya.

“Saya berharap kerjasama serta komitmen daripada semua ahli-ahli Pemuda bagi meneruskan lagi kesinambungan pergerakan ke satu tahap yang boleh dibanggakan bersama,”katanya.

Sementara itu, Mohd Nizam yang juga Pengarah Bahagian Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri Melaka berkata, ruang dan peluang yang diberikan kepada semua perwakilan tidak akan dipersiakan.

“Kepercayaan yang diberikan ini akan saya balas dan saya akan menggunakan pengalaman dalam mentadbir pertubuhan belia bagi sama-sama mengerakkan kegiatan Pemuda, ini kerana belia dan Pemuda mestilah bergerak seiring supaya hasrat dan inspirasi kita bersama dapat diterjemahkan, di samping memperhebatkan lagi program- program untuk ahli-ahli Pemuda dan belia di akar umbi,” katanya.

Menurut Mohd Nizam lagi, ahli belia juga adalah ahli Pemuda dan tidak mustahil mereka dapat mengeratkan lagi silaturrahim di antara semua ahli, di samping bertukar-tukar fikiran dan idea.

Katanya, peranan pemimpin belia telah diiktiraf dan ia seharusnya meneruskan langkah ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.