Thursday, November 13, 2008

Tingkat Kesedaran Warga JKNM Terhadap Kesihatan Pekerjaan

Program sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat negeri yang diadakan di Hospital Jasin, baru-baru ini, berjaya mencapai matlamatnya untuk mempertingkatkan lagi kesedaran dan pengetahuan warga kesihatan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM),

Dr Ghazali Othman berkata, melalui program itu, ia juga dapat meningkatkan kesedaran majikan akan tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja semasa di tempat kerja.Menurutnya, Kerajaan khususnya JKNM amat komited dalam melaksanakan program berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk mewujudkan satu akta sebagai menunaikan tanggungjawab mereka.

“Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah dikuatkuasakan pada 1994 dengan tujuan mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan sihat untuk pekerja-pekerja.

“Selain itu, Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar telah ditubuhkan pada 1997 bagi menjalankan tanggungjawab melakukan pelbagai aktiviti yang dapat memberi jaminan kepada pekerja,”katanya.

Menurut Ghazali, antara tugas yang dilakukan, termasuklah menjalankan surveilan kesihatan kepada anggota kesihatan yang berisiko melalui Klinik Kesihatan Pekerjaan yang ditubuhkan pada 2003 di Poliklinik Ayer Keroh.

“Penubuhan klinik ini menunjukkan betapa JKNM begitu mengambil berat kesihatan pekerja dan sejak dibuka, kedatangan pekerja di klinik ini amat menggalakkan dan ia menunjukan bahawa para pekerja mula sedar bahawa betapa pentingnya menjaga kesihatan mereka ,”katanya.

Menurut Ghazali, JKNM turut melaksakan program tempat kerja selamat dengan mengadakan audit keselamatan di semua kawasan dan tempat kemudahan-kemudahan kesihatan di negeri ini.Katanya, ia bertujuan memastikan kemudahan yang disediakan itu adalah suatu tempat yang selamat untuk kakitangannya bekerja dan selamat juga kepada orang awam yang mengunjungi kemudahan kesihatan tersebut.