Wednesday, December 10, 2008

160 Belia Rentas Denai Dan Hutan Sepanjang 2.5 Kilometer

Lebih 160 belia-belia awam berumur antara 18 hingga 25 tahun terdiri pelbagai kaum dan agama menyertai program Jungle Treking di Asahan, di sini, hari ini.

Cabaran itu bermula apabila belia-belia merentas hutan dan denai sepanjang 2.5 kilometer dan berakhir di air terjun Asahan.

Pengarah Sahabat Belia, Mohd Nizam Omar berkata, program anjuran Kelab Sukarelawan Sahabat Belia Negeri itu merupakan usaha merapatkan hubungan antara kaum dan agama, selain menjalinkan perpaduan yang lebih erat.

Menurutnya, program yang dilaksanakan juga membuka peluang kepada para pelajar dan siswa-siswi mencungkil bakat semulajadi untuk dimanfaatkan.

"Dengan adanya program ini, ianya dapat membina semangat jati diri dan menanam sifat keberanian belia menghadapi cabaran yang mendatang ,"katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Penyelaras program, Zaini Muhamad berkata, program yang dilaksanakan itu adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada para pelajar, siswa dan belia mengenai pelbagai perkara terutama mempromosi pelancongan negeri ini.

Menurutnya, program ini dapat menjalinkan hubungan silaturrahim di kalangan belia dan pelajar IPT dan dengan adanya program ini, matlamat untuk mengelakkan budaya lepak dan memberi kesedaran kepada belia akan tercapai.

"Dengan bakat yang dikurniakan, diharap negeri Melaka akan menjadi sebuah negeri yang mempunyai golongan belia yang sihat, aktif dan berdaya maju," katanya lagi.