Monday, January 5, 2009

72 pelajar sertai bengkel Petanque

Seramai 72 pelajar menyertai bengkel dan Pertandingan Petanque peringkat Daerah Jasin 2008 yang dianjurkan Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Jasin dengan kerjasama daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Maju, di sini.

Setiusaha KRT taman tersebut, Mokhtar Md Jadi berkata, bengkel yang julung kali diadakan itu adalah untuk memperkenalkan sukan berkenaan kepada generasi muda terutama di kalangan remaja di dalam daerah ini.

“Ia juga adalah sebagai langkah untuk mengisi masa lapang mereka, walaupun musim cuti persekolahan hampir tamat, " katanya. Selain itu, secara tidak langsung menerusi program berkenaan dapat mengelakkan remaja terlibat dalam perkara yang tidak diingini.

“Program ini dinamakan Jiran Muda yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja dengan memberi peluang mereka mengisi masa yang ada dengan perkara yang berfaedah,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain bengkel dan pertandingan sukan tersebut diadakan, KRT taman berkenaan juga aktif dalam mengadakan pelbagai program untuk setiap peringkat usia.

“Sebagai contoh setiap malam Jumaat dan Sabtu, kita menganjurkan latihan Silat Sendeng di kawasan lapang hadapan bangunan KRT ini, manakala pada setiap Selasa dan Jumaat petang pula kita anjurkan pertandingan sukan Petanque dan pada sebelah malam pula kita adakan kelas tambahan untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” katanya.

Katanya, memandangkan sambutan yang diterima daripada peserta menggalakkan, jabatan tersebut akan mengadakan program seumpama ini sebagai acara tahunan terutama pada musim cuti persekolahan.

“Ia bukan sahaja sesuai untuk remaja lelaki, tetapi remaja perempuan yang berminat juga boleh turut serta dalam menyertai acara sebegini,” katanya.

Untuk itu, pada masa akan datang pihaknya mengalu-alukan penyertaan pelajar untuk program tersebut.