Friday, January 9, 2009

Biro Latihan Pemuda Jasin Kenal Pasti Aktiviti Untuk Pemimpin Pemuda Cawangan

Biro Latihan Pemuda UMNO Bahagian Jasin akan menggerakkan beberapa siri aktiviti bagi memastikan pergerakan itu terus mantap dalam membantu UMNO Bahagian berkenaan.

Pengerusi Biro Latihan Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Shahrul Azwar Abd Aziz berkata, untuk itu, jawatankuasa biro terbabit telah mengenal pasti beberapa aktiviti khususnya kepada pemimpin Pemuda di peringkat cawangan.Menurutnya, ini termasuklah mengadakan beberapa siri latihan dan kursus untuk pemimpin khususnya ketua-ketua dan setiausaha Pemuda UMNO di peringkat cawangan serta seminar dan sesi ceramah.

“Di samping itu, biro latihan juga akan mengadakan kunjung hormat terhadap veteran UMNO, Tan Sri Aziz Tapa bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai peranan Pemuda UMNO dalam konteks masa kini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas mengadakan mesyuarat Biro Latihan Pemuda UMNO Bahagian Jasin di Pejabat UMNO Bahagian Jasin, dekat sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan watikah perlantikan ahli jawatankuasa biro terbabit kepada seramai 15 orang terdiri ahli Pemuda UMNO dari seluruh Bahagian Jasin.Menurut Shahrul Azwar, sebelum ini, ahli jawatankuasa Biro Latihan Pemuda UMNO Bahagian Jasin telah mengadakan kunjung hormat di kediaman Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini.

“Melalui kunjung hormat itu, banyak pandangan dan harapan yang diberikan oleh Naib Presiden terhadap semua ahli pemuda UMNO di negara ini supaya terus memainkan peranan dalam memberi kesedaran pentingnya memelihara kedaulatan negara dan membela nasib orang-orang Melayu,” katanya.