Tuesday, February 10, 2009

11 dilantik sebagai penasihat

Seramai 11 tokoh tempatan, pegawai kanan kerajaan dan usahawan terkenal telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Jasin, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Imran Idris berkata, jawatankuasa penasihat berkenaan ditubuhkan untuk membantu kelancaran dan keberkesanan program-program anjuran Kolej Komuniti.

“Jawatankuasa ini sangat penting sebagai satu daripada saluran komunikasi antara masyarakat setempat dengan pihak kolej komuniti.

“Diharap semua yang dilantik dapat mencurah idea, berkongsi pengalaman dan kepakaran bersama warga Kolej Komuniti Jasin dalam membudayakan ilmu pengetahuan demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Jasin.

Watikah pelantikan telah disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir Idris Haron, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Parlimen Jasin serta pemimpin tempatan.

Beliau turut menyarankan kepada seluruh warga Kolej Komuniti Jasin agar sentiasa berfikiran positif dan berusaha memperbaiki kualiti diri seiring dengan keperluan organisasi.

“Kita mahu semua warga kolej bekerja secara lebih profesional dan bersungguh-sungguh menjadikan bidang pendidik sebagai satu bidang kerjaya yang memberi makna dan manfaat yang besar untuk kesejahteraan masyarakat yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada mereka,” katanya.

Katanya, Kolej Komuniti Jasin mula ditubuhkan pada tahun 2003 dengan menumpang sementara di Sekolah Menengah Teknik Jasin, dan pada peringkat awalnya sekumpulan kecil pelajar perintis telah diambil di bawah Sijil Multimedia Kreatif (Pengiklanan).

“Kemudian pada 1 Februari 2005, kolej ini berpindah di sini dan sekarang ia sedang berkembang pesat daripada segi pertambahan pelajar dan kemudahan fizikal dan pembelajaran,” katanya.

Antara tokoh yang menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Jasin semalam adalah Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Mohd Yazed Khamis.

Sementara pegawai kerajaan yang dilantik pula terdiri daripada Pegawai Daerah Jasin, Halim Ahmad; Pegawai Pelajaran Daerah, Yusof Ahmad; Penghulu DUN Merlimau, Lazan Ali dan Pengetua Sekolah Kebangsaan Sungai Rambai, Abu Bakar Alim.