Wednesday, February 11, 2009

RM75,000 diperuntuk bina batu sangkar

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Jasin bakal membina batu sangkar (gabion) di sekitar kawasan tebing Sungai Kesang yang telah terhakis sejak beberapa bulan lalu.

Penolong Jurutera JPS Daerah, Mohd Samsurry Sudin berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM75,000 untuk membina batu sangkar di kawasan tebing sungai yang kian terhakis.

“Kerja-kerja membina batu sangkar terbabit akan mula dibina dalam masa terdekat ini dan dijangkakan kerja-kerja itu akan selesai pada akhir Mac ini.

tg “Batu sangkar ini dibina bagi mengelakkan daripada hakisan yang berlaku di sepanjang sungai ini bertambah teruk,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zainal Kadir ketika dihubungi berkata, pihaknya selaku mewakili penduduk di Kampung Kesang Barat bersyukur dengan pembinaan batu sangkar.

“Kita sangat berterima kasih di atas bantuan dan kerja membina batu sangkar itu kerana selama ini, penduduk kampung terutama lima keluarga yang tinggal di tepi sungai itu sering bimbang kerana terpaksa tinggal di dalam situasi yang berbahaya.

“Penduduk berasa bimbang terutama apabila tiba musim tengkujuh kerana kedudukan rumah dilihat semakin hampir dengan tebing sungai itu,” katanya. Beliau tidak lagi mahu kejadian banjir yang pernah berlaku di kampung itu pada 2006 lalu berulang kembali.

“Kira-kira 13 buah rumah penduduk kampung dinaiki air dan kejadian itu disifatkan sebagai kejadian banjir yang terburuk yang pernah berlaku di kampung ini,” katanya.

Sinar Harian pada 6 November tahun lalu menyiarkan keadaan penduduk yang bimbang disebabkan terpaksa tinggal di dalam keadaan bahaya memandangkan tanah yang terhakis di tepi sungai itu semakin teruk.