Tuesday, February 3, 2009

Mangsa kebakaran terima bantuan

Seorang ibu tunggal bersama dua anaknya yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka di Batu 19, Jalan Chinchin, hangus dalam kebakaran Rabu lalu, mendapat perhatian Pembela Barisan Nasional (BN) negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Ketua Penyelia Pembela BN negeri, Amir Hamzah berkata, pihaknya berusaha membantu mangsa disebabkan dia hanya tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian itu. “Justeru, kerajaan negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) menyumbangkan kelengkapan sekolah seperti pakaian, kasut dan beg sekolah bagi anak mangsa yang bersekolah di sekolah rendah.

“Sumbangan daripada Tapem kepada anak bongsu mangsa, Muammar Alwali yang kini berada di Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan Air Barok, adalah bagi membolehkan dia dapat terus ke sekolah memandangkan dia bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) penghujung tahun ini,” katanya sewaktu menyampaikan bantuan terbabit kepada keluarga mangsa di rumahnya.

Hadir sama ialah Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Mohd Khabir Abdul Karim dan Pegawai dari Tapem, Diana Mohd Yusuf. Katanya, seorang lagi anak mangsa, Muammar Gadafi, pelajar Tingkatan Enam Atas di Sekolah Menengah Dato’ Bendahara, Air Barok, turut menerima bantuan kelengkapan sekolah yang sama dari MAIM.

Sementara itu, mangsa kebakaran, Noraini Husin, 47, berkata, dia sekeluarga amat berterima kasih di atas bantuan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan negeri itu. “Tiada apa yang boleh dikatakan selain terima kasih di atas keprihatinan yang dihulurkan oleh pihak yang tampil menghulurkan bantuan,” katanya.

Bagi kedua-dua anak mangsa yang menerima peralatan sekolah, mereka berazam untuk berusaha bersungguh-sungguh pada peperiksaan yang bakal dihadapi dan menjadikan kejadian ini sebagai cabaran untuk mereka meneruskan persekolahan.

Menurut Muammar Gadafi, dia berazam untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dan ingin membantu ibunya membesarkan adiknya yang masih berada di sekolah rendah. Lewat petang Rabu lalu, rumah yang disewa mangsa hangus terbakar disebabkan lintas pintas dari bilik tengah.

Mangsa yang ketika itu sedang mandi segera keluar dan tidak sempat menyelamatkan barang-barang kecuali kereta miliknya atas bantuan daripada orang ramai pada ketika itu. Sebelum ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Chua Kheng Hwa dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Turut menyampaikan bantuan keperluan makanan asas ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Agama, Ghazale Muhamad dan Ketua Unit Sukarelawan Al-Taqwa MAIM, Md Dino Md Delan.