Thursday, February 19, 2009

Nasib Zainab sekeluarga terus dibela

Kisah ibu tunggal yang lumpuh separuh badan dan perlu menyara tiga anaknya termasuk seorang cacat sejak lahir, terus mendapat perhatian pelbagai pihak sejak berita mengenainya disiarkan Utusan Malaysia Isnin lepas.

Jika sebelum ini, kepayahan yang dialami Zainab Haron, 62, tidak dipedulikan tetapi sejak berita mengenainya disiarkan dia kini merasakan hidupnya kembali bersinar untuk memulakan kehidupan baru.

Dalam linangan air mata, hanya ungkapan terima kasih berulang kali diucapkan Zainab sebagai tanda penghargaan yang tidak terhingga atas bantuan yang dihulurkan pelbagai pihak.

''Terima kasih. Terima kasih. Mak cik akan ingat wajah awak semua sampai bila-bila,'' katanya ringkas.

Tiada ungkapan yang mampu diluah oleh Zainab sebaliknya air mata berlinangan mengalir sewaktu dia menerima kunjungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan Pembela Barisan Nasional negeri di rumahnya di Permatang Pasir di sini hari ini.

Bukan hanya kunjungan biasa tetapi sebaliknya ketiga-tiga agensi kerajaan negeri itu turut menyumbangkan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan kesusahan hidup yang dialami oleh Zainab.

Sebelum ini kehidupan Zainab dan anak-anaknya hanya bergantung kepada bantuan RM190 yang diberikan oleh JKM kepada anak sulungnya yang cacat, Za'azman Haris, selain anak keduanya, Zazali yang bekerja kilang dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Pendapatan Zazali bagaimanapun berkurangan beberapa bulan kebelakangan ini apabila kilang tempatnya bekerja mengurangkan hari bekerja ekoran kemerosotan pengeluaran.

Kisah Zainab turut mendapat simpati Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang kemudian mengarahkan agensi kerajaan negeri menghulurkan bantuan segera.

Pengarah JKM Negeri, Roslan Baba berkata, pihaknya sudah pun meluluskan bantuan penjaga OKU kepada Zainab untuk kos jagaan Za'azman berjumlah RM300 sebulan mulai bulan ini.
''Malah Za'azman yang cacat sejak lahir juga akan diberikan bantuan bulanan berjumlah RM150 mulai Mac depan.

''Saya harap, dengan bantuan bulanan yang diberikan JKM sebanyak RM450 ini, ia akan dapat mengurangkan beban yang ditanggung keluarga ini," katanya.

Hadir sama Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Mohd. Khabir Abdul Karim dan Pembela Barisan Nasional (BN), Amir Hamzah Aziz.

Sementara itu, Maim turut menghulurkan bantuan am berjumlah RM500, barang keperluan makanan berjumlah RM200 dan tongkat bagi keperluan Zainab sumbangan Badan Sukarelawan At-Taqwa, Maim.