Thursday, April 2, 2009

Jadikan Program Khidmat Masyarakat

Bahagian Sahabat Belia akan sentiasa bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) di negeri ini dalam melaksanakan apa jua program bagi kebaikan bersama.

Pengarah Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri (JKMM), Mohd Nizam Omar berkata, penganjuran dan jaringan kerjasama dalam melaksanakan program untuk mendekatkan siswa/siswi dengan golongan muda dan masyarakat wajar dijadikan sebagai program tahunan.

"Siswa/siswi perlu didedahkan dengan program-program kemasyarakatan kerana di samping menimba ilmu di pusat pengajian tinggi mereka juga boleh mendekati masyarakat di taman perumahan sebagai salah satu tanggungjawab sosial pelajar kepada masyarakat," katanya.

Mohd Nizam berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Anak Angkat Politeknik Merlimau di Balai Raya Taman Bahagia, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Rukun Tetangga (RT) Taman Bahagia, Abu Dolah Hitam merangkap Pegawai Khas Ahli Parlimen Alor Gajah, Ketua UMNO Cawangan Taman Bahagia, Aduman Md Jelas dan Ketua Gerakan Belia 4B (GB4B) Taman Bahagia, Borhan Ibrahim merangkap Ketua Pemuda UMNO Taman Bahagia.

Program keluarga angkat anjuran Politeknik itu disertai seramai 40 pelajar pelbagai fakulti di Politeknik Merlimau. Program tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan RT Taman Bahagia, GB4B Cawangan Taman Bahagia dan UMNO Cawangan Taman Bahagia dari 27 Mac hingga esok (hari ini) di taman itu.

Sehubungan itu, Mohd Nizam mengucapkan tahniah diatas penganjuran dan jaringan kerjasama yang baik di kalangan pengajur dan masyarakat setempat. Mohd Nizam yang juga Pengerusi Biro Pelajaran dan Pengajian Tinggi Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin berkata, pengalaman yang mereka timba haruslah digunakan dengan sebaiknya dan disampaikan kepada rakan-rakan yang tidak dapat menyertainya.

Program-program seperti ini haruslah diteruskan lagi dan menjadi program utama dan tahunan bagi IPTA/S di negeri ini.