Monday, November 24, 2008

Papan Tanda Jalan Pelbagai Bahasa

Langkah Kerajaan Pulau Pinang yang meneruskan pemasangan papan tanda jalan pelbagai bahasa membuktikan pemimpin negeri itu menggunakan pendekatan perkauman, selain mahu meraih publisiti murahan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seolah-olah terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat pelbagai kaum di negeri berkenaan.Katanya, ia juga turut mahu menunjukkan bahawa beliau seorang yang sentiasa bersikap perkauman dalam melaksanakan sesuatu perubahan dan pembangunan.

“Saya fikir ini pendekatan kurang elok kerana ia akan menimbulkan semangat perkauman di negara ini dan beliau sepatutnya mencari jalan supaya suasana harmoni sentiasa wujud di Malaysia.

“Papan tanda pelbagai bahasa seperti yang dipasang di Pulau Pinang ketika ini menunjukkan pandangan tidak elok dalam negara kita. Ini sudah tentu tidak dapat menyatupadukan suasana harmoni yang amat diperlukan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sehari Bersama Pelanggan anjuran Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) di Dewan Alamanda Jasin, di sini kelmarin. Mohd Ali yang juga Ketua Menteri berkata, ketika beliau berada dalam negeri yang diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia (BWD), apa yang wajar dilakukan ialah menempatkan papan tanda penerangan dalam pelbagai bahasa di lokasi tumpuan pelancong.

Sebagai contoh, katanya, di Makam Hang Tuah di Melaka, terdapat papan tanda penerangan dalam bahasa Melayu, Cina, India dan Inggeris bagi memudahkan pelancong mengenali kawasan berkenaan yang menjadi bahan sejarah berguna sebelum pulang ke negara asal.

“Tapi nama jalan tidak perlu diletakkan pelbagai bahasa kerana pelancong sendiri akan faham papan tanda berbahasa Malaysia. Sebenarnya Guan Eng cuba mencari publisiti dan sokongan berasaskan isu perkauman dan inilah diri beliau sebenarnya,” katanya.

Melaka Dahului Penembusan Jalur Lebar Tertinggi Di Malaysia

Melaka terus mencatat pembangunan yang membanggakan dalam bidang komunikasi apabila menjadi negeri yang mendahului kadar penembusan Jalur Lebar yang tertinggi di negara ini sehingga hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, sehingga hari ini, Melaka telah berjaya mencapai kadar penembusan Jalur Lebar sebanyak 23 peratus berbanding dengan jumlah kadar penembusan nasional sebanyak 18 peratus.

“Melaka telah mencapai 23 peratus kadar penembusan Jalur Lebar sehingga hari ini dan saya berharap kita akan dapat mencapai 50 peratus menjelang 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian program Sehari Bersama Pelanggan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) di Dewan Alamanda, di sini, semalam.Hadir sama Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Menurut Mohd Ali, beliau telah meminta Bahagian K-Ekonomi memantau kadar penembusan Jalur Lebar itu supaya ia akan terus dipertingkatkan sehingga mampu mencapai sasaran kira-kira 50 peratus kadar penembusan Jalur Lebar.

Katanya, Kerajaan juga telah membuka pusat siber di kawasan luar bandar untuk memberi latihan dan pengetahuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada penduduk terbabit.

“Ini termasuklah penggunaan e-banking dan e-business kerana ia menjadi pengukur kepada penduduk luar bandar yang kita latih menggunakan internet dan ia hanya akan berjaya sekiranya mereka dapat menguasai penggunaan kedua-dua e banking dan e-business ini,” katanya.

Selain itu, Mohd Ali berkata, Melaka juga menjadi negeri pertama berjaya menyelesaikan isu serta masalah air di negara ini apabila bakal menandatangani perjanjian bersama Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK).

“Perjanjian ini akan dilakukan pada Disember ini dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) telah diminta menguruskan urusan terbabit,” katanya.

Friday, November 21, 2008

PERPUSTAM Melaka Lancar Kelab Sinar Pintar

Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) menjadi perpustakaan awam pertama di negara ini yang melancarkan Kelab 'Sinar Pintar Perpustakaan Desa'.

Pengarah PERPUSTAM, Zulkiflee Mohd Said berkata, kelab yang diwujudkan di semua rangkaian perpustakaan desa di negara ini adalah menerusi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Menurut Zulkiflee, pemilihan Melaka sebagai lokasi pertama pelancaran kelab itu iaitu di Perpustakaan Desa Kampung Chinchin, di sini, amat membanggakan dan serentak dengan itu, kelab itu juga akan diwujudkan di semua rangkaian perpustakaan desa di bawah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

“Kelab Sinar Pintar ini bertujan untuk memperkayakan kehidupan dan masa anak-anak dengan amalan membaca dan ia direka unutk memenuhi masa mereka bersama keluarga, komuniti setempat dengan aktviti menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas majlis pelancaran Kelab Sinar Pintar Perpustakaan Desa Kampung Chinchin, di Kem Lambaian Danau, Kampung Chinchin, di sini, hari ini.Majlis pelancaran kelab itu disempurnakan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), Datuk Abd Wahab Abd Latip.

Hadir sama di majlis itu, Pengarah Perancangan dan Perhubungan Korporat Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kamarudin Md Nata; Pengerusi JKKK Kampung Chinchin, Ismail Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan Desa Kampung Chinchin, Ali Aman.

Menurut Zulkiflee, selepas dilancarkan, seramai 92 penduduk kampung telah mendaftar sebagai ahli kelab dan penyertaan kelab adalah percuma manakala borang keahlian boleh diadapati di semua rangkaian perpustakaan desa di negeri ini.

“Dengan menjadi ahli, mereka yang telah mendaftar akan menjadi ahli sukarelawan dan mereka akan dapat mengikuti aktiviti yang menyeronokkan menerusi aktiviti seperti membaca, menulis, kesenian, kraf, IT dan aktiviti luar.

Wednesday, November 19, 2008

Pelbagai Projek Kemajuan Dirancang di Jasin

Penduduk daerah Jasin bakal menikmati pelbagai Pembangunan baru yang akan dilaksanakan di daerah tersebut menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh(RMK-10).

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata, di bawah RMK-10, peruntukkan kira-kira RM510 juta di sediakan bagi membangunkan daerah itu mengikut keperluan semasa masyarakat setempat.

Menurutnya, anrata projek terlibat adalah menaik taraf dan membina jalan baru Jasin-Merlimau-Kampung Lanchang dan jalan baru Jasin-Tangkak kejalan Jasin-Nyalas dengan kos sebanyak RM25 juta.

"Selain itu, projek pembangunan Keagamaan dan pendidikan juga di beri keutamaan apabila sejumlah RM74juta disediakan untuk membina empat masjid baru, 10 surau, tujuh sekolah menengah agama dan 10 sekolah rendah agama di daerah ini pada masa depan,"katanya.

Pada masa yang sama, kata beliau, kemudahan pendidikan juga di perhebatkan dengan penyediaan kos sebanyak RM 36juta bagi tujuan pembinaan 17 sekolah baru di daerah berkenaan.

"Usaha pencegahan banjir di Jasin juga akan terus dilaksanakan dengan membina tiga projek tambatan banjir iaitu di kampung Lanchang, Pekan Merlimau serta di Kampung Tasik Sungai Rambai yang melibatkan kos 20 juta.

"Selain itu pembinaan Loji Air Lanchang membabitkan peruntukkan sejumlah RM240 juta masih dalam pembinaan dan di jangka mampu memberi manfaat kepada penduduk dan pengusaha industri di daerah ini kelak,"ujarnya.

Bagi memastikan keselesaan penduduk Jasin lebih terjamin, menurut Ahmad, pertambahan unit rumah kos rendah juga akan dilaksanakan khusus bagi memastikan golongan miskin di daerah itu memiliki rumah kediaman yang selesa.

Ujarnya, antara kawasan rumah kos rendah baru yang akan dibina ialah di Kampung Kelubi Fas II dan Kampung Pulai Darat Fasa II dengan kos RM 32.3juta.

"Pada masa sama, du projek kesihatan di daerah ini sedang dilaksanakan melibatkan pembinaan Klinik Desa Bemban dan Klinik Kesihatan Merlimau dengan kos RM15juta,"kata beliau.

Beliau memberitahu, projek pembangunan pendidikan di Jasin juga termasuk menaik taraf lima insitusi Pengajian tinggi awam(IPTA) seperti Kolej Komuniti Selandar, Kolej Komuniti Jasin, Politeknik Merlimau dan Institusi Kemahiran Mara.

Jelasnya, Projek pembagunan pendidikan lain yang turut terlibat ialah termasuk Maktab Rendah Sains Mara Tun Ghafar Baba Jasin dan Insitut Latihan Perindustrian Selandar dengan kos RM50juta.

Thursday, November 13, 2008

Tingkat Kesedaran Warga JKNM Terhadap Kesihatan Pekerjaan

Program sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat negeri yang diadakan di Hospital Jasin, baru-baru ini, berjaya mencapai matlamatnya untuk mempertingkatkan lagi kesedaran dan pengetahuan warga kesihatan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM),

Dr Ghazali Othman berkata, melalui program itu, ia juga dapat meningkatkan kesedaran majikan akan tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja semasa di tempat kerja.Menurutnya, Kerajaan khususnya JKNM amat komited dalam melaksanakan program berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk mewujudkan satu akta sebagai menunaikan tanggungjawab mereka.

“Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah dikuatkuasakan pada 1994 dengan tujuan mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan sihat untuk pekerja-pekerja.

“Selain itu, Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar telah ditubuhkan pada 1997 bagi menjalankan tanggungjawab melakukan pelbagai aktiviti yang dapat memberi jaminan kepada pekerja,”katanya.

Menurut Ghazali, antara tugas yang dilakukan, termasuklah menjalankan surveilan kesihatan kepada anggota kesihatan yang berisiko melalui Klinik Kesihatan Pekerjaan yang ditubuhkan pada 2003 di Poliklinik Ayer Keroh.

“Penubuhan klinik ini menunjukkan betapa JKNM begitu mengambil berat kesihatan pekerja dan sejak dibuka, kedatangan pekerja di klinik ini amat menggalakkan dan ia menunjukan bahawa para pekerja mula sedar bahawa betapa pentingnya menjaga kesihatan mereka ,”katanya.

Menurut Ghazali, JKNM turut melaksakan program tempat kerja selamat dengan mengadakan audit keselamatan di semua kawasan dan tempat kemudahan-kemudahan kesihatan di negeri ini.Katanya, ia bertujuan memastikan kemudahan yang disediakan itu adalah suatu tempat yang selamat untuk kakitangannya bekerja dan selamat juga kepada orang awam yang mengunjungi kemudahan kesihatan tersebut.

Sebagai Pemimpin Pelapis Azman & Mohd Nizam Komited Teruskan Perjuangan

Naib Presiden dan Setiausaha Agung Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Azman Abdulah dan Mohd Nizam Omar diberi kepercayaan oleh perwakilan sebagai Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin yang bersidang di Dewan Alamanda, baru-baru ini.

Azman yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Jasin menewaskan lawannya, Nor Azmi Mahmood dengan perbezaan sembilan undi manakala Mohd Nizam yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Belia 4B (GB4B) Kawasan Jasin menempatkan diri sebagai Ahli Jawatankuasa dalam percubaannya yang pertama.

Azman yang ditemui selepas pengumuman keputusan undian itu bersyukur kepada Allah kerana mendapat mandat serta amanah daripada perwakilan yang membuat pemilihan dan beliau amat menghargainya.

“Saya berharap kerjasama serta komitmen daripada semua ahli-ahli Pemuda bagi meneruskan lagi kesinambungan pergerakan ke satu tahap yang boleh dibanggakan bersama,”katanya.

Sementara itu, Mohd Nizam yang juga Pengarah Bahagian Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri Melaka berkata, ruang dan peluang yang diberikan kepada semua perwakilan tidak akan dipersiakan.

“Kepercayaan yang diberikan ini akan saya balas dan saya akan menggunakan pengalaman dalam mentadbir pertubuhan belia bagi sama-sama mengerakkan kegiatan Pemuda, ini kerana belia dan Pemuda mestilah bergerak seiring supaya hasrat dan inspirasi kita bersama dapat diterjemahkan, di samping memperhebatkan lagi program- program untuk ahli-ahli Pemuda dan belia di akar umbi,” katanya.

Menurut Mohd Nizam lagi, ahli belia juga adalah ahli Pemuda dan tidak mustahil mereka dapat mengeratkan lagi silaturrahim di antara semua ahli, di samping bertukar-tukar fikiran dan idea.

Katanya, peranan pemimpin belia telah diiktiraf dan ia seharusnya meneruskan langkah ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Monday, November 10, 2008

Wanita UMNO Jasin Jelajah Tiga DUN

Pegerakkan Wanita UMNO Bahagian Jasin telah mengadakan program ziarah dan lawatan kebajikan kebeberapa rumah ahlinya yang kini uzur dan sakit kronik di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jasin.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Zaleha Bujang berkata, lawatan dan ziarah itu adalah aktiviti pertama Jawatankuasa Wanita UMNO selepas mesyuarat agung bahagian diadakan sejak beberapa hari lalu.

zaleha memberitahu, tujuan utama lawatan itu adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan ahli jawatankuasa UMNO yang satu ketika dahulu menjadi jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin dan Negeri.

"Menerusi lawatan di tiga kawasan DUN iaitu DUN Serkam, DUN Merlimau, dan DUN Sungai Rambai ini, ahli jawatankuasa baru dapat mengenali ahli jawatankuasa lama,di samping turut menghulurkan bantuan kepada mereka, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kebajikan, ziarah dan majlis penyampaian sumbangan kepada bekas pemimpin UMNO di peringkat cawangan, Bahagian dan Negeri, baru-baru ini.

Turut hadir dalam lawatan tersebut,isteri kepada Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datin WIra Zainun Tun Abd Ghaffar serta isteri Ahli Parlimen Jasin.

Antara kunjungan yang di lakukan oleh ahli jawatankuasa terbabit termasuklah menziarahi bekas aktivis sosial, maini Zaidi,71 dan Abadiah Selamat,59, di kampung Parit sidang Seman, sungai Rambai dekat sini,yang kini diserang penyakit angin ahmar.

Turut dilawati ialah bekas Naib Ketua Wanita Bahgian, Zainun Abu Bakar,81 di kampung Sempang dan Pengerusi Penyelaras Wanita DUN Serkam, Khadijah Bahari yang kematian anak lelakinya akibat kemalangan jalan raya di Alor Gajah, baru-baru ini.

Menurut Zaleha, Program lawatan dan Ziarah yang turut di sertai kira-kira 40 ahli UMNO Wanita Bahagian itu akan diteruskan di dua lagi Kawasan DUN iaitu DUN Bemban dan DUN Rim.

Friday, November 7, 2008

Penganugerahan Sijil MS ISO 9001:2000 Cekap Dan Efisien Matlamat Utama MPJ

Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) terus mara dalam pengurusan yang lebih cekap dan efisien khusus kepada masyarakat di daerah ini apabila menerima pengiktirafan Sijil MS ISO 9001: 2000.

Sijil yang mengiktiraf perkhidmatan perbandaran merangkumi kelulusan pelan pembangunan, kejuruteraan, kawalan bangunan landskap penilaian harta, pelesenan dan penguatkuasaan itu akan digunakan sehingga 26 Ogos 2011.

Yang Dipertua MPJ, Kamarudin Md Shah berkata, penerimaan sijil tersebut akan dapat meningkatkan mutu, kualiti serta imej MPJ sebagai salah sebuah majlis perbandaran yang terbaik di negara ini.

“Sijil MS ISO 9001: 2000 yang diterima MPJ pada hari ini secara tidak langsung memberikan cabaran kepada semua kakitangan jabatan ini untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas majlis penyampaian Sijil MS ISO 9001: 2000 oleh Pengarah CI Certification Malaysia Sdn. Bhd., Ooi Soo Kang di Dewan Alamanda, dekat sini, hari ini.

Hadir sama menyaksikan majlis penyerahan itu ialah Setiausaha MPJ, Mohd Shaiful Hizam Johan; Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Idatul Farita Mohd Taha; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam, Ghazale Muhammad serta lebih 200 pegawai dan kakitangan MPJ.

Menurut Kamarudin, langkah untuk memperoleh pengiktirafan ISO itu telah bermula sejak awal Januari tahun lalu dengan Sistem Kualiti ISO dimulakan pada 1 Julai lalu dan akhirnya MPJ berjaya memperolehi sijil tersebut pada 27 Ogos lalu.

“Sebanyak 11 jabatan terlibat dalam pensijilan ISO ini dan kami akan berusaha untuk menambah baik dengan memastikan semua prosedur yang ada akan sentiasa dipatuhi melalui audit dalaman yang akan dibuat mengikut jadual yang ditetapkan.

“Langkah ini perlu kerana biapun baru hanya satu tahun setengah diiktiraf sebagai Majlis Perbandaran, langkah memastikan prosedur yang ditetapkan itu sentiasa dipatuhi dan ianya adalah perlu dalam usaha memantapkan lagi perkhidmatan dan pengurusan MPJ kepada masyarakat,”katanya.

Lahirkan Jaguh Sukan Pemuda UMNO Jasin Mampu Lakukannya


Penubuhan Kelab Badminton Pemuda UMNO Cawangan Jasin Hilir, bukan sahaja mampu mengeratkan dan memantapkan ahli Pemuda UMNO Cawangan itu, malah mampu melahirkan jaguh sukan dalam acara berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah ketika melancarkan kelab tersebut di gelanggang badminton Jasin Hilir, di sini, baru-baru ini berharap lebih banyak kelab badminton akan dapat ditubuhkan di bahagian berkenaan.

Ahmad berkata, dengan menjadikan contoh beberapa negara yang menjadi kuasa dunia dalam acara badminton seperti China dan Indonesia, Ahmad berharap Pemuda UMNO dalam Bahagian Jasin akan menjadi perintis.

“Sudah terbukti bahawa negara China dan Indonesia telah berjaya melahirkan ramai jaguh badminton bertaraf dunia dan oleh itu, penubuhan kelab badminton Pemuda UMNO Cawangan Jasin Hilir ini wajar disambut baik,”katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua UMNO Cawangan Jasin Hilir, Ahmad Misbah Md Jan; Pengerusi JKKK Kampung Jasin Hilir, Yusoff Othman dan Setiausaha Kerja Mubarak Malaysia, Datuk Nazari Adzim.

Menurut Ahmad, beliau turut berharap melalui penubuhan kelab badminton itu, ia akan terus menjadikan Pemuda UMNO terus mantap dan dapat menggelakkan mereka dari terjebak dengan gejala tidak bermoral.

“Di samping dapat menyihatkan tubuh badan, kelab ini juga diharap akan dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai UMNO bagi memastikan Pemuda UMNO Bahagian Jasin terus mantap,”katanya.